Isnin, 23 Ogos 2010

BERPUASA TAPI TAK SOLAT


Soalan; ustaz, apakah diterima puasa orang yg sengaja meninggalkan solat? kerana saya melihat ramai orang yg berpusa tapi tidak mengerjakan solat.

Jawapan;

Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.

Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya;
1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir.
2. Jumhur ulamak berpandangan; ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar.

Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).

Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu); puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah ialah; dia tidak dituntut lagi mengqadha/mengganti puasanya. Namun perlu dipersoalkan; adakah puasanya itu akan diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat? Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riyak; solatnya sah (dari sudut Fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riyak tersebut. Kerana itu, ulamak-ulamak al-Azhar (seperti Syeikh ‘Atiyah Saqar (bekas ketua Lujnah Fatwa al-Azhar), Dr. Ahmad asy-Syirbasi (bekas pensyarah di Universti al-Azhar), Dr. Muhammad Bakr Ismail, Dr. Muhammad ‘Ali Jum’ah dan ramai lagi), walaupun pendapat mereka tidak sekeras ulamak-ulamak dari Arab Saudi tadi, tetapi mereka menegaskan; “Orang yang tidak mengerjakan solat sekalipun puasanya sah tetapi tidak diterima Allah (yakni tidak diberi pahala)”. Syeikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; “Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi s.a.w. menunjukkan ia tidak diterima…”. Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh ‘Atiyah itu ialah sabda Nabi s.a.w. (bermaksud);

“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).

Jika dengan kerana akhlak mazmumah (dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardhu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fatawa; Min Ahsan al-Kalam, Syeikh Aiyah Saqar, 2/32.
2. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198.
3. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/149.
4. Yas-alunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah, Dr. Ahmad as-Syirbasi, jilid 4
READ MORE - BERPUASA TAPI TAK SOLAT

Ahad, 15 Ogos 2010

Pengkhususan Bulan Ramadhan



Oleh: Dr. Ahmad Abdul Hadi Syahin Hamudah

1. Sebaik-baik dan semulia-mulia bulan

Allah telah melebihkan bulan, hari dan malam tertentu ke atas yang lain. Allah telah melebihkan dan memuliakan bulan Ramadhan ke atas bulan yang lain sekalipun tidak termasuk dalam bulan-bulan haram. Ini kerana Allah telah melebihkan siangnya dengan ibadah puasa dan malamnya dengan qiam. Puasa Ramadhan termasuk salah satu daripada rukun Islam yang lima yang telah diketahui sebagai tanggungjawab agama. 

Allah telah melebihkan bulan Ramadhan ke atas bulan yang lain sepanjang setahun. Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda: “Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah mewajibkan berpuasa. Di bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup serta syaitan dibelengu. Di dalam bulan ini mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka barangsiapa yang tidak berhasil memperolehi kebaikannya, maka tidak dapat lagi ia memperolehi kebaikan selama-lamanya”. (Nasai dan Baihaqi)

Sabda nabi:
“Berseru suara (malaikat) yang menyeru: “Wahai pencinta kebaikan, bergembiralah. Wahai pencinta kejahatan, berhentilah, sehingga Ramadhan berakhir”. (Ahmad)

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda: “Solat lima waktu, jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan berikutnya menghapuskan kesalahan-kesalahan yang terjadi di antara masing-masing apabila keslaahn bersay dijauhi”. (Muslim)

2. Ramadhan adalah bulan berpuasa

Di antara keutamaan yang Allah khususkan kepada bulanRamadhan tidak pada bulan yang lain ialah Allah mewajibkan ibadah puasa yang ditunaikan pada siang hari bulan Ramadhan. Firman Allah: “Barangsiapa di antaramu yang melihat (anak bulan) maka hendaklah berpuasa”. (Al-Baqarah: 185)

Di dalam hadith berkenaan Islam yang dibina di atas lima perkara, nabi saw menyatakan salah satunya ialah: “Puasa Ramadhan..”. (Bukhari)

Di dalam riwayat Talhah bin Ubaidillah r.a, bahawa seorang sahabat telah bertanya kepada nabi saw: Wahai Rasulullah nyatakanlah kepadaku tentang puasa yang Allah wajibkan kepadaku? Lalu nabi menjawab: “Bulan Ramadhan”.  Kemudian dia bertanya lagi: Adakah ada lagi untukku? Jawab nabi: Tidak, kecuali puasa sunat” (Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a , Sabda nabi saw: “Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah pasti dosa-dosanya yang terdahulu diampunkan”. (Bukhari)

Di antara keistimewaan puasa ialah sebagai satu-satunya ibadah yang terletak di antara hamba dan Tuhan. Di dalam sebuah hadith Abu Hurairah r.a dari nabi saw bersabda: “ Semua amalan manusia untuk dirinya, kecuali puasa, maka itu aalah untukKu dan Aku akan memberinya ganjaran. Satu hasanah bersamaan sepuluh kali ganda kerana meninggalkan makan, minum dan syahwatnyakeranaKu. Dan orang yang berpuasa itu akan mendapat dua kegembiraan yang menyenagkan hati. Di kala berbuka ia akan gembira dengan berbuka itu dan disaat ia menemui Tuhannya, ia bergembira kerana puasanya. Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum dari kasturi di sisi Allah di hari Kiamat”. (Bukhari) 

Orang yang berpuasa dengan merasai kehausan akan dibalas oleh Allah di hari Kiamat nanti dengan mengurniakan sebuah pintu di syurga yang khusus untuk orang-orang yang berpuasa yang dinamakan Ar-Rayyan. Sabda nabi saw: “Sesunggunya di syurga itu mempunyai sebuah pintu yang bernama Ar-Rayyan (memuasakan dahaga). Maka pada hari Kiamat akan dipanggil: Hai mana orang yang berpuasa?. Maka apabila telah masuk orang yang terakhir dari mereka ditutuplah pintu syurga itu”. (Bukhari dan Muslim)

Puasa adalah madrasah tarbawi (pendidikan) yang mendidik muslim dengan keutamaan Islam dan kemuliaan akhlak: 
1.      Seorang muslim mempelajari erti kesabaran kerana menegah daripada makan, minum dan syahwat. Justeru puasa memperkuatkan kemahuan untuk menanggung kepayahan dan kesukaran hidup
2.      Seorang muslim mempelajari erti kebersamaan dan keprihatinan tentang keadaan orang miskin dan susah. Justeru akan mendorong untuk menyumbangkan harta. Seterusnya orang kaya meringankan kesusahan orang miskin dan orang yang kuat membantu orang yang lemah.
3.      Mempelajari disiplin dan adab di dalam kehidupan yang perlu kepada amalan secara berjamaah, di mana orang-orang Islam di seluruh pelosok dunia berpuasa pada masa yang sama, berbuka pada masa yang sama. Oleh itu mereka seumpama satu jasad dan satu binaan yang kukuh.

3.  Ramadhan adalah bulan Qiam

Allah telah mengkhususkan malam-malam di bulan Ramadhan dengan keutamaan qiam. Sabda nabi saw: “Barangsiapa yang bangun (qiam) di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosa yang terdahulu”. (Bukhari)


Dilaporkan bahaw nabi saw pada kebiasaannya akan mendirikan solat qiam tidak lebih sebelas rakaat pada bulan Ramadhan dan bulan lainnya. Pada setengah malan baginda menunaikan solat sebanyak tiga belas rakaat dan pada bulan Ramadhan tiada had yang diketahui untuk baginda solat qiam. Ketika nabi saw ditanya tentang qiamullail, nabi menjawab: “Dua dua (rakaat). Kalau seorang kamu bimbangkan telah hampir masuk waktu subuh tunaikanlah solat satu rakaat witir yang juga dikira solat qiam”. (Bukhari)

Namun yang utama seperti yang biasa nabi saw lakukan iaitu tunaikan solat sebanyak sebelas rakaat secara tenang, tidak tergopoh-gapah, khusyuk, ikhlas, menghadirkan hati dan keinginan yang tulus untuk mendekatkan diri kepada Allah. Nabi saw telah bersabda: “Aku telah menjadikan solat sebagai penyejuk mataku”. (Bukhari)

Kita memohon kepada Allah supaya menerima puasa, qiam dan amal soleh kita.

4. Ramadhan adalah bulan al-Quran

Di antara keistimewaan bulan Ramadhan ialah ayat al-Quran yang pertama diturunkan berlaku pada bulan Ramadhan. Firman Allah: “Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dan batil)”. (Al-Baqarah: 185)

Seorang muslim disunatkan memperbanyakkan tilawah al-Quran di bulan Ramadhan. Sesungguhnya Jibril dan nabi saw saling bertadarus al-Quran di sepanjang Ramadhan . Pada tahun terakhir kewafatan nabi saw mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali di hadapan Jibril.

Di dalam sebuah hadith nabis saw, bersabda: “Puasa dan al-Quran itu akan memberi syafaat bagi hamba di hari Kiamat. Puasa berkata: “Ya Tuhan, aku menyebabkab dia menahan makan dan syahwatnya di siang hari, maka berilah aku izin untuk memberi syafaat untuknya”. Dan berkata al-Quran: “Aku mencegah dia tidur di malam hari, sebab itu izinkalah aku memberi syafaat untuknya”. Maka syafaat kedua-duanya diterima Allah”. (Ahmad)

Disunatkan semasa bertilawah al-Quran dan mendengar bacaannya untuk melakukan perkara berikut:
-          Diam dan dengar
-          Tadabbur
-          Menghadirkan hati
-          Meninggalkan kesibukan
-          Merasai keagungan ayat dan wahyu
-          Meningkatkan diri dari semasa ke semasa
-          Merasai bahawa setiap ayat ditujukan kepada anda sahaja

5. Ramadhan adalah bulan sedekah (zakat fitrah)

Di antara keistimewaan Ramadhan ialah di dalam bulan ini ada ibadah zakat fitrah yang merupakan sedekah wajib ke atas setiap muslim yang tidak memerlukan kekuatan siang dan malam. Seorang muslim mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan ahli keluarga yang ditanggungnya sebagai asas mendekatkan diri kepada Allah bagi membantu golongan fakir dan miskin sahaja serta meringankan bebanan mereka pada hari raya. Zakat fitrah juga untuk membersihkan diri orang berpuasa daripada amalan sia-sia dan percakapan kotor yang tidak layak diucapkannya, menyucikan diri daripada terikat kepada cintakan harta dan dunia. Sunat zakat fitrah dibayar dalam bentuk bijian. Para fuqahak mengharuskan zakat dibayar dalam bentuk nilai (RM) sesuatu harta, tetapi boleh pilih mana yang terbaik untuk kemaslahatan orang fakir. 

Di dalam hadith dari Ibn Abas r.a berkata: “Nabi saw mewajibkan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada amalan sia-sia dan perkataan jelek dengan memberikan makanan kepada orang fakir dan miskin. Sesiapa yang membayarnya sebelum solat Idul Fitru sebagai zakat fitrah yang diterima dan sesiapa yang membayar selepas solat, maka sebagai sedekah”. (Abu Daud dengan sanad yang sahih)

6. Ramadhan terkandung suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan  

Allah telah mengkhususkan bulan Ramadhan dengan malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

 Firman Allah: “Sesungguhnya Kami telah menurunknnya (al-Quran)  pada malam Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itru lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar”. (Al-Qadr: 1-5)  

 Firman Allah: “Sesungguhnya, Kami menurunkannya pada malam yang diberkahi. Sungguh, Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah”. (Ad-Dukhan: 3-4)

Sabda nabi saw: “Barangsiapa yang bangun malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah pastilah dosa-dosanya yang terdahulu akan diampunkan”. (Bukhari)

Nabi saw menghidupkan malam Lailatulqadar dan menyuruh para sahabat melakukannya. Begitu juga baginda menghidupkan sepuluh malam yang akhir di bulan Ramadhan khususnya memenuhi malam secara bersendirian dan menurut riwayat yang kuat pada malam ke 27.

Daripada Ubai bin Kaab r.a berkata: “Demi Allah, aku tahu benar malam apakah itu, iaitu malam yang disuruh oleh Rasulullah saw untuk melaksanakan qiam. Iaitu malam ke dua puluh tujuh (27). Ubai telah bersumpah menyokong kenyataannya. Beliau turut memberikan tanda seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah saw bahawa matahari terbit pada keesokan paginya tanpa memancarkan cahaya”.(Ibn Nu'im)

Daripada Aisyah r.a berkata: “Wahai Rasulullah sekira aku dapat bertemu malam Lailatulqadar apakah yang patut aku ucapkan? Sabda nabi: “اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني". (Ya Allah, sesungguhnya engkau maha Pengampun dan suka mengampunkan dosa..ampunilah dosaku). (Ibn Majah)

Kita memohon kepada Allah menerima puasa, qiam dan amal soleh kita.

------------
Penulis adalah Profesor dakwah dan perbandingan agama di fakulti Usuludin Universiti Al-Azhar


Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=53556&SecID=363



READ MORE - Pengkhususan Bulan Ramadhan

Jumaat, 6 Ogos 2010

Ahlan Wa Marhaban Ya Ramadhan


Oleh: Abdul Hamid al-Bandary

Umat Islam di serata pelosok dunia bersiap sedia menyambut ketibaan ‘hadiah Allah’ kepada hambaNya yang taat dan patuh, iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak yang mendorong jiwa semua orang untuk menyambut ketibaannya dan meraikan dengan sebaik mungkin supaya memperolehi kejayaan dengan kurniaan dan hadiah Allah ini yang begitu harum semerbak baunya.

Suatu yang mengkagumkan bila anda melihat manusia dari pelbagai peringkat umur, golongan dan bangsa menanti-nanti ketibaan bulan ini dengan penuh kerinduan, semangat dan berkobar-kobar. Kemungkinan hal ini termasuk di antara keajaiban dan rahsia bulan Ramadhan yang dikasihi..Kenapa tidak, inilah bulan para syaitan dan jin dikurung, dibuka pintu-pintu syurga dan suara para malaikat akan berseru: “Wahai pencinta kebaikan sambutlah dan bergembiralah..wahai pencinta kejahatan berhentilah”. Ini kerana semasa bulan Ramadhan sesiapa yang mendekatkan diri dengan Allah dengan amalan-amalan sunat maka dia memperolehi pahala seolah-olah dia menunaikan ibadah fardu pada bulan biasa dan sesiapa yang menunaikan ibadah fardu maka dia memperolehi pahala seolah-olah dia menunaikan 70 ibadah fardu pada bulan biasa.   

Tahniah dan syabas buat mereka yang bersiap sedia dari sekarang untuk menyambut ketibaan bulan ini dengan persiapan yang sepatutnya dan tahniah buat mereka yang meneguhkan jiwa dan hatinya untuk membuat ‘persembahan’ terbaik dalam bulan kurniaan Allah dan anugerah yang tidak terhitung dan tidak terkira rahmat dan berkatnya. Ia bermula sejak dari malam yang pertama sehingga penghujung bulan dan yang paling utama malam Lailatul Qadr yang merupakan malam yang penuh kebahagian kepada orang-orang yang memperolehi kemenangan. 

Ayuhlah, mulai dari sekarang kita melatih diri dengan beberapa amalan dan ibadah yang kita harapkan dari Allah akan membantu kita melaksanakannya semasa Ramadhan di samping mengharapkan ganjaran pahala di sisi Allah. Jadikanlah slogan kita semua semasa Ramadhan: “Allah sentiasa melihat kebaikan diri kamu”.

Amalan peringkat individu

1.Perbanyakkan membaca al-Qur’an, mentadabbur dan memahami maksudnya di bulan Ramadhan. Anda hendaklah Berjaya menkhatamkan tadabbur semasa Ramadhan. Firman Allah:  “Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Qur’an”. (Al-Baqarah: 185) Firman Allah: “Sungguh al-Qur’an ini memberi petunjuk ke jalan yang lurus”. (Al-Isra’: 9)

2.Mengambil berat terhadap solat berjamaah, solat sunat qabliyah dan ba’diyah di masjid sepanjang bulan Ramadhan.  Firman Allah: “Demikianlah perintah Allah. Dan barangsipa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati”. (Al-Hajj: 32)
Dalam sebuah hadith Qudsi: “HambuKu terus mendekatkan diri kepadaku dengan ibadah sunat hingga Aku menyayanginya..”.

3.Merebut peluang berdoa semasa berbuka puasa kepada sesiapa yang disukai, dakwah anda dan saudara-saudara di Gaza serta memberikan kemenangan kepada Islam dan umat Islam kerana sabda nabi saw: “Doa orang yang berpuasa tidak ditolak..”

4.Terus tinggal di masjid selepas solat subuh untuk membaca al-Qur’an, berzikir dan beristighfar sehingga solat dhuha walaupun hanya dua kali seminggu supaya memperolehi pahala umrah dan haji sepenuhnya sepenuhnya sepenuhnya.

5.Sususn jadual dari sekarang untuk beriktikaf  pada 10 hari yang akhir atau malam-malamnya secara berseorangan. Sabda nabi: “Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan keikhlasan pastilah dosa-dosanya yang terdahulu diampunkan”. 

Amalan peringkat keluarga

1.Memberi perhatian tentang menghimpunkan anak dan keluarga dalam majlis tazkirah dan tadarus al-Quran secara harian di bulan Ramadhan. Firman allah: “Maka ingatlah padaKu, Aku pun selalu ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu ingkar kepadaKu”. (Al-Baqarah: 152)   

2.Mengingatkan secara harian kepada anggota keluarga semasa berbuka tentang erti Ramadhan.

3.Memberi perhatian tentang hubungan silaturrahim dengan menziarahi saudara yang dekat dan berhubung dengan yang jauh beserta menanamkan nilai tersebut kepada anak-anak. Firman Allah: “Bertakwalah kepada Allah yang dengan namaNya  kamu saling meminta, dan peliharalah hubungan kekeluargaan”. (An-Nisa’: 1)
Berhubung dengan jiran tetangga dengan melakukan ziarah atau memberikan hadiah-hadiah Ramadhan. Sabda nabi: Berilah hadiah kerana menimbulkan kasih sayang” 

Menjemput anggota keluarga dan mempunyai pertalian untuk majlis berbuka di bulan Ramadhan serta tidak membebankan mereka.

Amalan peringkat anak-anak

1.Menggalakkan anak-anak tinggal di masjid semasa Ramadhan serta menghidupkan semuala peranan masjid yang telah dilupakan.

2.Mendorong anak-anak menyertai aktiviti-aktiviti kebajikan di bulan Ramadhan.

3.Mengajak anak-anak menyertai ibubapa mendirikan solat malam dan Tahajud di bulan Ramadhan. Sabda nabi: “Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya”.

4.Mengurangkan masa anak-anak duduk di hadapan computer dan television dengan menambahkan amalan sunat dan ibadah tertentu di bulan Ramadhan.

 5.Menghidupkan program dakwah fardiah dan menjalin hubungan erat dengan mad’u di bulan Ramadhan dengan anak-anak mengajak kawan-kawan dan teman-temannya supaya menghidupkan nilai-nilai Ramadhan serta memantau mereka dalam hal ini. Sabda nabi: “Supaya Allah memberi hidayah kepada seorang lelaki hasil usaha kamu lebih baik dari dunia dan segala isinya”.

Saudaraku yang dikasihi,

Bersegeralah dari sekarang..kerana Ramadhan akan menjelang tidak lama lagi..dan akan beredar dengan pantas..Begitulah umur berlalu..Beruntunglah orang yang melakukan persiapan yang terbaik..dan memperolehi kejayaan dengan pahala di dalam Ramadhan, kerana jikalau manusia mengetahui kebaikan yang terdapat di bulan Ramadhan pastilah mereka akan berharap supaya Ramadhan sepanjang tahun.

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=68640&SecID=363
READ MORE - Ahlan Wa Marhaban Ya Ramadhan

Selasa, 3 Ogos 2010

Semarak Ramadhan IKRAM Johor 1431H

READ MORE - Semarak Ramadhan IKRAM Johor 1431H

Isnin, 2 Ogos 2010

Langkah Orang Beriman Menyambut Ketibaan Ramadhan



Bagaimanakah cara terbaik menyambut ketibaan bulan yang mulia ini? Hal ini supaya seorang muslim itu tidak leka di dalam musim beramal ini dan semoga dia termasuk orang yang berlumba-lumba dan bersaing di dalam beramal ibadah di dalam bulan ini. Firman Allah: “Maka hendaklah berlomba-lomba orang yang berlomba-lomba”. (Al-Mutaffifin: 26)

Seorang muslim sewajarnya menyambut Ramadhan dengan melakukan perkara berikut:

1.Berdoa supaya Allah menyampaikan anda ke bulan Ramadhan dalam keadaan yang sihat sejahtera supaya giat dan cergas beribadah kepada Allah; berpuasa, qiam, zikir.
Dari Anas bin Malik r.a berkata: “Nabi saw apabila tiba bulan Rejab baginda akan berdoa: “ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. (Ahmad dan Tabrani)

Para Salafussoleh berdoa kepada Allah supaya menyampaikan mereka ke bulan Ramadhan, kemudian berdoa supaya mereka dapat menyambut Ramadhan. Apabila kelihatan anak bulan Ramadhan mereka bergegas berdoa dengan berkata: “Allah Maha Besar, Ya Allah anugerahilah kami keamanan, keimanan, keselamatan dan Islam. Limpahkanlah kami taufik seperti yang Engkau sukai dan redhai, Tuhanku dan TuhanMu adalah Allah”. (Termizi, Darimi dan disahihkan oleh Ibn Hibban)

2. Panjatkan pujian dan syukur di atas kesampaiannya kepada Ramadhan. Menurut Imam Nawawi Rahimahullah di dalam Kitab Al-Azkar: “Ketahuilah bahawa Allah sangat menyukai orang yang apabila memperolehi nikmat yang zahir dan mengelakkan daripada terkena sesuatu kecelakaan yang zahir dia akan bersujud dan memuji-muji Allah kerana syukur kepadaNya”.

Di antara nikmat yang paling besar yang Allah kurniakan kepada hamba ialah taufik dan hidayah untuk melakukan ketaatan dan ibadah. Justeru suatu nikmat yang besar apabila seorang tiba bulan Ramadhan dalam keadaan kesihatan yang baik. Dengan itu sewajarnya dia bersyukur dan memuji Allah sebagai pemberi nikmat  dan kelebihan kepadanya. Berilah pujian sebanyak-banyaknya sepertimana yang patut dilakukan kepada Allah SWT yang memiliki keagungan dan ketinggian kekuasaan.



3. Bergembira dan suka dengan kedatangan Ramadhan. Satu riwayat yang sahih dari Rasulullah saw, bahwa baginda akan menggembirakan para sahabat dengan kedatangan bulan Ramadhan sambil bersabda: “Telah datang bulan Ramadhan, bulan yang pernah keberkatan yang Allah wajibkan puasa di dalamnya, di bulan ini dibuka pintu syurga dan ditutup pintu  neraka”. (Ahmad)

Para Salafussoleh yang terdiri dari para Sahabat dan Tabien sangat memberi perhatian dengan kedatangan bulan Ramadhan serta bergembira dengan ketibaannya kerana mereka gembira menerima berita yang paling besar tentang hampirnya bulan Ramadhan yang merupakan musim ibadat dan turunnya rahmat.

4. Berazam dan merancang aktiviti supaya dapat mengambil manfaat dari Ramadhan. Apa yang menyedihkan ramai orang termasuk orang yang beragama merancang dengan teliti tentang urusan dunia, tetapi tidak ramai yang berbuat demikian dalam urusan akhirat. Ini disebabkan tiada kesedaran tentang tugas dan tanggungjwab mukmin di dalam kehidupan ini, lupa atau leka bahawa seorang muslim memperolehi peluang yang banyak bersama Allah dan temu janji penting untuk mendidik jiwanya sehingga teguh di atas urusan ini. Di antara contoh rancangan kepada akhirat ialah, rancangan untuk memenuhi Ramadhan dengan ketaatan dan ibadah. Justeru seorang muslim hemdaklah menentukan agenda atau program praktikal untuk memenuhi siang dan malam Ramadhan dengan ibadah kepada Allah. Pesanan yang anda tatap ini membantu anda untuk memenuhi Ramdhan dengan ibadah dan ketaatan kepada Allah. Insya Allah.  

5. Menyematkan tekad dan azam yang teguh untuk memenuhi dan memaksimakan masa di bulan Ramadhan dengan amalan soleh. Oleh itu orang yang benar dengan keimanan kepada Allah pastilah Allah akan menolong dan memudahkan untuknya berada di jalan yang baik. Firman Allah: “Padahal jika mereka benar-benar (beriman) kepada Allah, pastilah yang demikian itu lebih baik baginya”. (Muhammad: 21)

6. Berilmu pengetahuan tentang hukum-hakam Ramadhan kerana seorang mukmin yang menyembah Allah wajib mempunyai pengetahuan dan tidak dibenarkan sama sekali jahil tentang perkara-perkara fadhu yang telah Allah wajibkan ke atas hambaNya. Oleh itu tentang puasa Ramadhan, seorang muslim sewajarnya mempelajari permasalahan dan hukum puasa supaya ibadah puasanya betul dan diterima Allah. Firman Allah: “Maka tanyakanlah kepada orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui”. (Al-Anbiya’: 7)  

7. Kita hendaklah menyambut ketibaan Ramdhan dengan azam untuk meninggalkan noda dan dosa serta bertaubat dengan sebenar-benarnya daripada semua keburukan, menyesal dan tidak mengulanginya semula. Ramadhan adalah bulan taubat. Justeru jika tidak bertaubat pada bulan ini bila lagi mahu bertaubat? Firman Allah: “Dan bertaubatlah kamu semua kepada
Allah, wahai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung”. (An-Nur: 31)

8. Mempersiapkan jiwa dan ruh melalui pembacaan dan ulangkaji ke atas buku, artikel dan mendengar kaset dan cd ceramah agama berkenaan fadilat dan hukum-hakam puasa sehingga jiwa benar-benar bersedia untuk melakukan ketaatan dan ibadah. Nabi saw ketika mempersiapkan jiwa para sahabatnya untuk merebut kelebihan bulan ini dengan telah berpesan semasa di penghujung Sya’ban: “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan..” (Ahmad dan Nasai)

9. Bersedia dengan sebaik-baiknya untuk gerak kerja dakwah:
-          Menyampaikan beberapa pesanan dan tazkirah dengan pengisian yang baik di masjid dan surau tempatan.
-          Mengedarkan risalah dan buletin ringkas yang berkaitan Ramadhan kepada para jemaah dan penduduk tempatan
-          Menyediakan hadiah Ramadhan sekadar kemampuan anda dan yang bersesuaian seperti hadiah cd, buku, majalah dan sebagainya. Tulislah ini adalah hadiah Ramadhan.
-          Mengingati orang miskin dan fakir dan sentiasa bersedekah dan berzakat kepada mereka.  

10.Kita menyambut Ramadhan dengan membuka lembaran putih dan bersinar bersama:
-          Allah dengan bertaubat
-          Rasul saw dengan mentaati apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang dilarang dan ditegah
-          Ibubapa, jiran tetangga, kaum kerabat, suami isteri, anak-anak dengan berbuat baik dan menghubungkan silaturrahim.
-          Masyarakat yang anda hidup bersamanya dengan menjadi hamba yang soleh dan berguna. Sabda nabi saw: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling berguna kepada manusia (masyarakat)”.

Demikian langkah yang diambil oleh seorang muslim semasa menyambut ramadhan seakan-akan seperti bumi yang kemarau menantikan hujan, pesakit yang menantikan kedatangan doktor yang akan merawat dan kekasih yang menanti kedatangan kekasih yang berjauhan.

Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=311&SecID=363
READ MORE - Langkah Orang Beriman Menyambut Ketibaan Ramadhan
Related Posts with Thumbnails