Selasa, 26 Oktober 2010

Kepentingan Haji dan faedahnya


Oleh: Dr. Ahmed Abdul Hadi Syahin

Makna haji dari segi bahasa: al-Qasd (maksud, niat, jalan)
Dari segi syarak: Niat atau jalan ke Mekah dan Baitul Haram untuk mengerjakan ibadah tertentu pada waktu tertentu.

Ibadah haji ialah rukun Islam yang kelima. Kewajipannya dinyatakan di dalam al-Quran, As-Sunnah dan Ijma’. Hukum haji dimaklumi dari agama dan sesiapa mengengkarinya menjadi kafir. Firman Allah:

“Mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), Maka Sesungguhnya Allah Maha Kaya (Tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam”. (Ali-Imran: 97)

Firman Allah:

“Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh”. (Al-Hajj: 27)

Orang yang mengerjakan fardu haji disyaratkan seorang yang mukallaf, iaitu berugama Islam, baligh dan berakal, seorang yang merdeka dan mempunyai kemampuan, iaitu berkeupayaan dari segi material dan fizikal.

Maksud berkemampuan juga, bekalan kebendaan yang mencukupi untuk perjalanannya dan bekalan yang mencukupi untuk tanggungannya yang ditinggalkan sepanjang ibadah haji. Beliau juga mempunyai keupayaan dari segi fizikal untuk menaiki kenderaan, berjalan kaki, menunaikan ibadah haji. Juga bermaksud perjalanan yang selamat.

Para Jumhur ulamak sepakat mengatakan bahawa haji hendaklah disegerakan bagi mereka yang berkemampuan dan bukanlah menangguh-nangguhkannya kerana menangguh-nangguhkannya beserta kemampuan merupakan bahaya yang besar. Ini kerana suasana dan keadaan sentiasa berubah. Oleh sebab itu janganlah memandang remeh dan melambat-lambatkan dalam mengerjakannya jika tanpa sebarang keuzuran syarak.

Di dalam sebuah hadith dari Abu Umamah r.a:

“Orang yang tiada halangan kerana sebab mendesak, sakit yang menghalang atau penguasa yang zalim sehingga dia tidak mengerjakan haji, maka dia mati insya Allah sebagai Yahudi dan insya Allah sebagai Nasrani”. (Al-Munzari di dalam at-Targhib wa at-Tarhib (202/2) dengan Sanad yang sahih)

Haji untuk kali pertama sepanjang umurnya adalah wajib. Manakala lebih dari sekali adalah sunat. Sabda nabi saw:

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan haji ke atas kamu maka tunaikan haji”. Lalu seorang sahabat bertanya: Adakah setiap tahun wahai rasulullah? Nabi saw menjawab: “Kalau saya katakan ya tentulah menjadi wajib..saya hanya katakan wajib kalau kamu mampu”. (Imam Ibn Hajar di dalam Talkhis al-habir (831/3) daripada Ibn Abbas tetapi sanadnya terputus dan asalnya ada di dalam Sahih Muslim)

Oleh itu mengerjakan haji berulang kali hukumnya sunat. Namun lebih baik perbelanjaan haji digunakan untuk membantu golongan yang lemah, fakir miskin, orang kelaparan dan yang dalam kesusahan di kalangan umat Islam kerana kalaulah harta ini dibelanjakan untuk mereka pastilah dapat menutup ruang-ruang terbuka umat Islam dan memperoleh ganjaran dengan syarat niat yang ikhlas.

Kelebihan dan manfaat haji

1.Menghapuskan dosa dan kesalahan. Di dalam hadith dari Ibn Mas’ud r.a:

“Ibadah haji yang diikuti umrah, maka kedua-duanya boleh menafikan kefakiran dan menghapuskan dosa sepertimana alat pengimpal besi tidak kotor dengan besi. Tiadalah balasan haji mabrur melainkan syurga”. (Tirmizi no 810)

Dalam sebuah lain: Daripada Abu Hurairah r.a:

“Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan kerosakan dan tidak fasiq, maka dia akan kembali seolah-olah baru dilahirkan oleh ibunya ”. (Sahih Bukhari No 1521)

 Iaitu Allah mengampuni semua dosa-dosanya. Tiada lagi dosa yang tinggal seumpama bayi yang baru lahir.

Hadith daripada ‘Aisyah r.a:

“Ditanyakan kepada Baginda manakah amalan yang lebih afdal? Maka dijawabnya: Iman kepada Allah dan Rasulnya. Kemudian apa? Jihad di jalan Allah. Kemudian? Sabdanya : Haji yang mabrur (diterima”). (Sahih Bukhari No 1520)


2. Menghasilkan manfaat ukhrawi seperti zikrullah, tawaf, solat di tanah paling suci di muka bumi dan memuliakan ibadah kepada Allah dan syiarnya. Di dalam hadith:

“Solat di Masjidil Haram lebih utama seratus ribu kali ganda dari solat di tempat lain”. (Bukhari di dalam Tarikh al-Kabir (29/4)

3. Perhimpunan tahunan umat Islam sedunia di Mekah untuk menyatukan barisan mereka, mengeratkan hubungan sesama mereka dan meneliti keadaan golongan-golongan yang lemah di kalangan mereka di seluruh dunia.

4. Menghasilkan manfaat duniawi. Firman Allah:

“Tidak ada dosa bagimu untuk mencari karunia (rezeki hasil perniagaan) dari Tuhanmu”. (Al-Baqarah: 198)

Iaitu bukan suatu dosa dan kesalahan menjalankan perniagaan, melakukan urusniaga jual beli dan meraih keuntungan selama mana tidak menyibukkannya daripada menyempurnakan fardu haji dan tidak menjerumuskannya ke dalam kealpaan, kerosakan, kefasiqan, pertengkaran dan sebagainya.

5. Di antara manfaat haji ialah menikmati daging hadiah (korban). Semasa haji diharuskan memakan dagingnya dan menghadiahkan kepada orang lain, bersedekah kepada golongan fakir dan memenuhi keperluan golongan yang memerlukannya. Firman Allah:

“ Bagi kamu pada binatang-binatang hadyu(korban) itu ada beberapa manfaat, sampai kepada waktu yang ditentukan”. (Al-Hajj: 33)

Kita memohon kepada Allah SWT supaya menerima amal-amal soleh kita.

----------
Penulis adalah seorang professor Dakwah dan Pengajian Islam di Universiti al-Azhar

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=55955&SecID=363
READ MORE - Kepentingan Haji dan faedahnya

Sabtu, 2 Oktober 2010

Nikmat Taufik


Dr. Ahmad Abdul Hadi Syahin

Di antara nikmat yang paling besar ke atas hamba yang mukminin ialah nikmat taufik. Berapa banyak nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kita yang tidak terhitung dan terkira banyaknya, tetapi kita merasainya kerana ia telah biasa bagi kita, seakan-akan kita telah mengadakan satu perjanjian antara kita dengan Allah untuk meneruskan nikmat-nikmat ini bersama kita sehingga kita mati.

Pada hakikatnya bagi meneruskan nikmat-nikmat ini bersama kita, maka kita hendaklah mengaitkan pemilik nikmat ini, menunaikan kewajipan mensyukurinya, menggunakan nikmat-nikmat ini untuk ketaatan dan menolong orang lain. Firman Allah:

“Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, Maka dari Allah-lah (datangnya)”. (An-Nahl: 53)

 Firman Allah:

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)”. (Ibrahim: 34)

Sandainya anda ingin mengetahui nilai nikmat Allah kepada anda, maka tanyalah diri anda beberapa soalan ini:

-          Adakah anda telah cuba dalam sehari untuk hidup ketika anda memejamkan mata, supaya anda mengetahui nilai nikmat mata yang Allah anugerahkan kepada anda?
-          Adakah anda telah cuba dalam sehari untuk hidup tanpa menggerakkan kedua kaki di rumah anda supaya anda mengetahui nilai nikmat kaki yang membolehkan anda berjalan?
-          Adakah anda telah cuba dalam sehari untuk hidup tanpa berkata-kata supaya anda mengetahui nilai nikmat lidah yang memboleh anda menyatakan apa yang terbuku di dalam hati anda?
-          Adakah anda telah cuba dalam sehari untuk hidup tanpa kereta dan hanya menggunakan kedua kaki anda atau tanpa pengangkutan awam, supaya anda mengetahui nilai nikmat ini yang anda gunakan setiap hari tanpa anda sedari?

Banyak lagi soalan yang boleh dilemparkan ke atas diri anda supaya anda mengetahui kurniaan Allah kepada anda.

Kebiasaannya kita membataskan nikmat tentang harta benda dan kesihatan sahaja padahal nikmat lebih banyak dari itu.

Di sana terdapat nikmat pemberian Allah yang meliputi semua yang dikurniakan Allah kepada anda seperti harta benda, kesihatan, anak-anak, keamanan, ketenangan jiwa, kepuasan hati, keredhaan dan manusia menyukai anda.

Di sana terdapat nikmat penolakan, iaitu Allah menolak sesuatu penyakit, musibah, bencana dari menimpa anda dan menghalang sesuatu yang dibenci atau kejahatan dari menimpa diri anda.

Oleh itu kita hendaklah sentiasa melihat di sebalik sesuatu perkara dan apa akibatnya, dan tidak hanya melihat kepada zahirnya sahaja kerana sesuatu perkara itu hanya diketahui bila telah berakhir. Firman Allah:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui”. (Al-Baqarah: 216)

Di antara nikmat yang paling besar yang dikurniakan kepada kita semua ialah nikmat taufik. Maknanya Allah telah menetapkan untuk anda kejayaan dalam setiap pekerjaan yang anda lakukan dan merasai bahawa Allah begitu dekat dengan anda. Oleh itu lihatlah semua pekerjaan menjadi mudah. Hal ini menjadikan anda sentiasa memastikan hubungan yang baik dengan Allah dalam setiap urusan hidup anda dan sentiasa memohon taufik dari Allah SWT seperti doa Rasulullah saw di dalam al-Quran:

“Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah Aku bertawakkal dan Hanya kepada-Nya-lah Aku kembali”. (Hud: 88)

Seandainya anda seorang doctor di mana Allah telah menjadikan anda sebagai sebab kepada kesembuhan pesakit atau sebab yang melegakan atau meringankan sakit yang dideritainya, anda telah merawat kecederaan yang serius kepada pesakit dan anda Berjaya menjalan tugas dengan baik, maka janganlah anda melihat dari aspek pengalaman, kajian, ketelitian dan kecanggihan sahaja, tetapi anda mengaitkan kejayaan dan taufik ini kepada PemilikNya yang sebenar, iaitu Allah SWT supaya nikmat ini terus bersama anda.   

Seandainya anda seorang pengkaji, pakar sains atau pereka cipta dan anda menemui sesuatu yang baru dalam kajian klinikal anda, maka janganlah anda melihat kepada kepintaran dan kebolehan anda, tetapi anda merendah diri dan katakanlah: “Kelebihan hanya milik Allah yang pertama dan terakhir”.

Menurut Imam Ali r.a: “Barangsiapa yang bergantung kepada harta miliknya pasti hartanya itu  akan berkurang, barangsiapa yang bergantung kepada akalnya (kepintarannya) pastilah akalnya boleh menyesatkannya. Tetapi barangsiapa yang bergantung kepada Allah pastilah Allah tidak akan berkurang atau menyesatkannya”.  

Alangkah indahnya kata-kata syair ini:

“Sekiranya seorang pemuda itu tidak memperolehi pemeliharaan dari Allah # Maka yang pertama yang akan merosakkannya ialah buah fikirannya”.

Seandainya anda seorang usahawan atau kakitangan dan anda Berjaya dalam perniagaan anda dan meraih untung yang banyak sehingga menjadi jtawan terkenal, maka janganlah anda melihat kepada kepintaran, kecerdikan dan pengalaman anda sahaja, tetapi perhatikanlah dengan baik kepada PemilikNya dan mengaitkan kelebihan kepada yang Memiliki Segala Kebolehan. Katakanlah seperti yang diungkapkan oleh nabi Sulaiman a.s:

“Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencoba Aku apakah Aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). dan barangsiapa yang bersyukur Maka Sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, Maka Sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia". (An-Naml: 40)

Janganlah anda seperti Qarun, kerana ketika Allah mengurniakannya harta kemewahan yang melimpah-ruah beliau tidak mahu bersyukur, kerana Qarun mengaitkan kekayaannya itu kepada ilmu dan kepintarannya. Firman Allah:

“Karun berkata: "Sesungguhnya Aku hanya diberi harta itu, Karena ilmu yang ada padaku". (Al-Qashah: 78)

Akhirnya Allah menceritakan kesudahan Qarun. Firman Allah:

“Maka kami benamkanlah Karun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya). (Al-Qashash: 81)

Oleh itu kita hari ini hendaklah mempelajari suatu pelajaran yang penting, iaitu setiap perbuatan yang dilakukan kita sangat memerlukan taufik. Justeru sebelum kita memulakan sesuatu pekerjaan, semasa dan sesudahnya  kita memohon taufik daripada Allah SWT semata-mata, kemudian mensyukuri di atas nikmat ini supaya kejayaan dalam pekerjaan anda terus dan berpanjangan.

Di antara makna taufik ialah, sesuatu nikmat itu mendatangkan kebaikan kepada diri anda, keluarga anda dan masyarakat yang hidup bersamanya. Anda menjadi sumber kebaikan kepada orang lain yang mendatangkan keriangan dan kegembiraan di hati mereka dan tergambar keceriaan di wajah-wajah mereka.

Di antara makna taufik juga, anda merasa begitu dekat dengan Allah dan Allah memang dekat dengan anda. Anda merasa dalaman anda berbahagia setiap kali anda melakukan sesuatu pekerjaan keranaNya biarpun terlalu berat atau susah, dan manusia akan menyebut kebaikan anda selepas kematian anda dan sejarah hidup anda yang harum.  

Seandainya anda memperolehi nikmat ini, percayalah dengan yakin bahwa Allah telah mengurniakan nikmat yang paling besar selepas Allah memberi anda hidayah kepada Islam, iaitulah nikmat taufik.. Kita memohon kepada Allah supaya memberikan kita taufik di dunia dan akhirat.

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=63287&SecID=363


READ MORE - Nikmat Taufik
Related Posts with Thumbnails