Isnin, 29 Mac 2010

Harta yang baik untuk lelaki yang baik


Segala puji bagi Allah kerana masih memberi kelapangan kepada saya untuk terus menulis dan berkongsi sedikit ilmu yang mudah-mudahan baik untuk dan semua orang.

Rasul saw telah meninggalkan satu mesej yang sangat berharga kepada umatnya sehingga hari Kiamat berkenaan pentingnya harta yang baik perlu dimiliki oleh orang yang baik. Sabda nabi saw dari Nu'man bin Basyir:

نِعْمَ المالُ الصَالح لِلرجُلِ الصالح

"Sebaik-baik harta yang salih (baik) adalah untuk lelaki yang salih (baik)". Riwayat Ibn Hibban, Ahmad dan Bukhari.

Rasul saw mengingatkan umatnya bahawa harta boleh memberi manusia nikmat dan boleh menjadi bencana bergantung kepada niat, cara mendapatkannya dan cara membelanjakannya. Apabila niatnya baik, harta diperolehi dengan cara yang baik dan dibelanjakan ke tempat yang baik sesuai dengan ajaran agama, maka dia akan memperolehi nikmat dan pahala yang besar di dunia dan akhirat. Hal ini boleh berlaku sekiranya harta itu dimiliki dan diurus oleh peribadi yang baik dan salih.

Justeru seorang yang fasik dan jahat sudah pasti akan mengurus harta dengan cara yang salah. Harta akan diperolehi dengan cara yang haram dan dibelanjakan ke tempat yang haram. Mereka akan mengunakannya ke arah maksiat, menyuburkan maksiat atau menghancurkan Islam.

Oleh itu rasul melihat pentingnya orang yang beriman memiliki harta kekayaan dan mengecapi kejayaan kebendaan di dunia supaya kekayaan itu digunakan untuk kemuliaan agama tercinta dan mengharapkan keredhaan Allah. Namun kita lihat hari ini kekayaan banyak yang dimiliki oleh orang kafir dan fasik seperti Bill Gates, Warren Buffet dsb. Mereka memiliki syarikat dan perusahaan yang maju dan besar..

Apakah maksud harta salih atau baik itu?

Iaitu harta yang berkat, harta yang digunakan untuk tujuan ibadah dan ketaatan kepada Allah,harta digunakan untuk kebaikan dan harta mendatangkan manfaat kepada pemiliknya di dunia dan akhirat serta harta yang memberi manfaat kepada umat Islam. Sungguhpun harta itu sedikit akan cukup memenuhi keperluan pemiliknya.

Harta yang baik adalah harta yang digunakan untuk makan agar mampu untuk beribadah, yang digunakan untuk membeli pakaian bagi menutup aurat dan memenuhi syarat beibadah, harta yang digunakan untuk memberi sedekah kepada orang lain bagi meringankan beban mereka. Inilah harta yang baik yang memberi manfaat duniawi dan mengundang pahala besar dan berlipat ganda di akhirat nanti. Namun sebaliknya harta yang buruk digunakan ke arah maksiat seperti berjudi, membeli pakaian yang seksi, membeli arak, pergi ke tempat-tempat maksiat dan sebagainya. Harta ini akan mendatagkan mudarat duniawi dan mengundang dosa yang besar dan kehinaan di akhirat nanti.

Ke mana peribadi yang baik akan menyalurkan harta kekayaannya?

Peribadi yang salih akan menggunakan harta kekayan mereka ke arah:
1. Membersihkan jiwa dan menyucikan hati dengan mengeluarkan zakat dan sedekah dari hartanya. Peribadi yang salih sudah pasti bersifat dermawan dan tidak bakhil.
2. Memenuhi keperluannya dan menjaga kehormatannya.
3. Menjaga keutuhan dan kebahagiaan keluarga dan kerabat.
4. Menyelamatkan umat Islam dari kekufuran, bencana dan kesulitan.
5. Menegakkan agama dan menumbangkan kekufuran.

Oleh kerana itu peribadi yang salih perlu mengelakkan perkara berikut dalam menguruskan harta mereka:

1. Semakin lupa dan lalai kepada Allah. Masanya disibukkan dengan mengumpul dan menguruskan harta.
2. Menjadi sombong dan bangga diri dengan kekayaan yang dimiliki.
3. Tidak mempedulikan halal dan haram kerana kerakusan terhadap kekayaan.
4. Menjadi kedekut dan bakhil dari membayar zakat atau bersedekah.
5. Menggunakan harta untuk menindas atau berbuat jahat ke atas orang lain.
6. Menjadikan harta untuk menyebarkan maksiat dan menghalang manusia dari jalan Allah.

Justeru, sebagai orang beriman kita hendaklah memperolehi harta dengan cara yang halal dan seterusnya kita belanjakan ke jalan yang diberkati Allah dan meninggikan agama Allah. Usahakanlah dengan gigih untuk menjadi orang berjaya dengan nikmat dunia samaada sebagai orang yang menjawat jawatan yang tinggi atau menjadi usahawan yang berjaya tetapi hartanya benar-benar memberi kebaikan untuk diri, keluarga, masyarakat dan agama. Mudah-mudahan harta yang dimiliki berkat dan seterusnya bertambah murah rezeki...
READ MORE - Harta yang baik untuk lelaki yang baik

Isnin, 8 Mac 2010

Merancang umur kedua yang lebih baik

Saudara/ri,
Terima kasih kerana masih sudi melayani blog kerdil ini. Dikesempatan ini saya akan membicarakan sebuah hadis yang bukan asing lagi bagi kita. Iaitu hadis yang menyatakan pentingnya kita merancang umur kedua yang lebih baik agar kita beroleh kebahagiaan di akhirat nanti.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi saw bersabda;"Apabila mati seorang anak Adam maka terputuslah (pahala) amal perbuatannya kecuali dari TIGA perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang salih yang mendoakannya". (HR Imam Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini Rasulullah menjelaskan kepada kita tentang tiga amalan yang pahalanya akan terus mengalir sekalipun pelakunya telah meninggal dunia; iaitu sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak salih yang sentiasa mendoakan ibubapanya.

Sehubungan itu, kita hendaklah merancang umur kedua iaitu umur selepas kita meninggalkan dunia yang lebih baik. Kita merancang bagaimana pada umur kedua nanti kita terus memperolehi pahala sungguhpun kita telah meninggalkan dunia ini.

Sebenarnya kalau kita perhatikan ternyata umur kedua jauh lebih panjang dari umur pertama. Umur kita di dunia mungkin mencapai 80 tahun tetapi umur kedua sehingga hari Kiamat. Tambahan pula kita tidak lagi berpeluang untuk mengubah nasib dan keadaan selepas kematian. Segala kesalahan dan kejahatan semasa hidup tidak dapat diperbaiki. Oleh itu semasa hidup kita berpeluang memperbaikinya ke arah yang lebih baik.

Bahkan umur kedua adalah buah dan akibat dari umur pertama. Segala apa yang dibuat semasa hayat akan dituai semasa umur kedua. Seandainya semasa hayat kita berbuat kebaikan pastilah kita menikmati buahnya dengan nikmat dari Allah, tetapi seandainya kita banyak berbuat kejahatan pastilah kita akan menerima akibatnya dengan menanggung siksaan pedih dari Allah.

Oleh itu kita hendaklah mengambil kesempatan di dunia ini dengan memperbanyakkan sedekah jariyah seperti bersedekah kepada pembinaan atau pengurusan masjid, surau, madrasah, rumah anak yatim, tanah wakaf, menaja pembelajaran pelajar jurusan agama atau menginfak kepada perjuangan rakyat Palestin.

Kita juga mencurahkan ilmu agama atau ilmu yang berguna kepada umat Islam supaya ilmu tersebut dimanfaatkan samaada semasa kita masih hidup atau telah meninggal dunia. Inilah yang telah dilakukan oleh para ulama terdahulu. Mereka berdakwah, mengajar dan menulis buku. Ilmu mereka terus digunakan sehingga hari ini.

Seterusnya kita mendidik dan melatih anak kita dengan didikan agama dan akahlak mulia. Mereka akan menjadi anak yang soleh yang akan berbakti, berbuat baik dan mendoakan ibubapanya samaada semas masih hidup atau sesudah ketiadaannya.
Semoga petunjuk dari hadis ini dapat dihayati dalam hidup kita dan dijadikan perangsang untuk kita terus melaksanakan tiga saranan di atas.
READ MORE - Merancang umur kedua yang lebih baik
Related Posts with Thumbnails