Jumaat, 23 Julai 2010

Eratkan Silaturrahim

Saudara yang dimuliakan,
Bulan Sya'ban penuh dengan kemuliaan dan keberkatan kerana bulan ini amalan hamba diangkat kepada Tuhan Rabbul Jalil. Namun amalan tersebut akan tergantung sekiranya seorang hamba itu bersengketa sesama saudaranya sehinggalah ia berbaik semula, barulah amalan tersebut akan diangkat. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghubungkan silaturrahin sesama saudara kita dan membuang yang keruh dan mengambil yang jernih. Bermaaf-maafanlah dan berdamai dengan cara yang baik. Inilah amalan yang sangat dituntut oleh nabi saw di bulan Sya'ban ini seperti yang dinyatakan dalam hadith nabi saw.
Dari Abu Darda’ r.a berkata: Rasulullah saw telah bersabda: “Sukakah aku memberitahu tentang amalan yang lebih utama daripada puasa, solat dan sedekah? Para sahabat menjawab: Sudah tentu. Jelas nabi: “Menghubungkan silaturrahim, kerana sekiranya rosak hubungan silaturrahim adalah umpama memotong agama”. (Tirmizi.) Menurutnya ini hadith sahih.

Saudara yang dimuliakan, cukuplah kita mengetahui tentang bahaya permusuhan, iri hati, dengki dan benci-membenci sesama orang Islam. Di dalam hadith dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw telah bersabda: “Pintu syurga dibuka pada hari isnin dan khamis, lalu diampunkan dosa hamba yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, kecuali lelaki yang saling bermusuh antara satu sama lain. Maka dikatakan; lihatlah kepada kedua mereka sehingga mereka berbaik semula, lihatlah kedua mereka ini sehingga berbaik semula dan lihatlah kedua mereka sehingga berbaik semula”. (Muslim)
Justure, semua umat Islam adalah bersaudara  tanpa mengira bangsa, keturunan, pangkat, jawatan dan batas geografi. Kita adalah umat yang satu yang saling menguat antara satu sama lain seperti satu binaan yang kukuh. Islam akan kuat sekiranya umat bersatu dan berpadu demi mencapai matlamat Islam.


 
READ MORE - Eratkan Silaturrahim

Jumaat, 16 Julai 2010

Sya'ban bulan Rahmat


Saudara/i, bulan Sya'ban sebenarnya satu bulan yang penuh keberkatan, kerahmatan dan keampunan. Tetapi ramai orang yang melupakannya atau tidak menyedarinya. Kerana itu mereka tidak merebut peluang dengan kedatangan bulan Sya'ban ini dengan amal ibadah ataupun memohon keampunan dari segala dosa kepada Allah.

Usamah bin Zaid meriwayatkan bahawa nabi saw telah ditanya oleh seorang sahabat: “Ya Rasulullah! Aku tidak melihat engkau banyak berpuasa pada bulan-bulan lain kecuali bulan Sya’ban. Lalu nabi saw menjawab: “Inilah bulan ramai orang yang melupainya yang berada di antara bulan Rejab dan Ramadan. Iaitu bulan yang diangkat amalan manusia kepada Allah. Oleh itu aku amat suka jika amalku diangkat kepada Allah ketika aku sedang berpuasa". (Nasa’i)

Dari Aisyah r.a berkata, nabi bersabda: “Adakah kamu tahu apakah malam ini?”. Aku menjawab: “Allah dan rasulNya lebih mengetahui”. Rasul bersabda: Inilah malam Nisfu Sya’ban, yang Allah kurniakan kepada hambaNya, Allah berfirman: “Ketahuilah, orang yang memohon keampunan pastilah Aku ampuni dosanya, orang yang meminta sesuatu pastilah Aku berikannya, orang yang berdoa pastilah Aku perkenannya dan para pendengki dilambatkan kejahatanyan seperti yang diinginkan”. (Baihaqi dengan sanad yang baik)

Allah memberikan rahmat dan kasih sayang kepada hamba-hambaNya dengan memberi keampunan kepada hamba yang memohon keampunan dan memperkenankan doa kepada hamba yang berdoa. Oleh kerana itu, jadikanlah bulan Sya'ban ini sebagai bulan ibadah, berpuasa, berzikir, bertilawah, beristighfar dan berbuat baik sesama manusia. Mudah-mudahan Allah memberikan rahmatNya kepada kita semua.
READ MORE - Sya'ban bulan Rahmat

Rabu, 14 Julai 2010

Puasa di Bulan Sya'ban


Berkata Aishah r.a. :
“Aku tidak nampak Rasulullah S.A.W menyempurnakan puasa melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak melihat baginda banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban ” (Bukhari)

Berdasarkan kepada hadith ini jelas kepada kita bahawa baginda saw memperbanyakkan puasa sunat di bulan sya'ban khususnya pada hari isnin dan khamis. Selain kita mencontohi amalan baginda yang banyak berpuasa di bulan sya'ban juga bertujuan sebagai latihan dan persiapan menghadapi puasa sebulan di bulan Ramadan nanti. Bukankah di bulan ramadan mengandungi banyak fadilat dan kelebihan di sisi Allah yang sepatutnya direbut oleh orang yang beriman supaya mendidik diri menjadi insan yang bertakwa.

Ayuh di bulan sya'ban ini kita sama-sama mulakan berpuasa sunat isnin dan khamis. Moga Allah menerima amal kita dan seterusnya menjadi bekalan takwa supaya kita memiliki kekuatan dalam menjalani kehidupan di dunia ini yang penuh dengan cobaan dan pancaroba.
READ MORE - Puasa di Bulan Sya'ban

Isnin, 12 Julai 2010

Isra’ dan Mi’raj


Setiap tahun pada 27 Rejab kita akan mengenang satu peristiwa besar yang berlaku ke atas baginda saw iaitu Isra' dan Mikraj. Firman Allah:

“Maha suci Allah, yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelililngnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat” (Al-Isra’: 1)

Bila kita menyebut peristiwa Isra' dan Mikraj, maka kita teringat Masjid al-Aqsa yang terletak di bumi Palestin yang kini ditawan dan dirampas oleh Zionis Israel. Melalui peristiwa ini menyedarkan kita bahawa bumi Palestin dan sekitarnya adalah bumi yang berkat. Di Palestin ada Baitul Maqdis iaitu kiblat yang pertama umat Islam, tanah haram yang ketiga suci, tempat persinggahan Isra’ dan Mi’raj nabi, di sinilah ramai para nabi hidup dan dikebumikan seperti nabi Ibrahim, Lut, Ya’qub, Yahya, Zakaria a.s.

Bumi Palestin merupakan sebuah negeri Islam yang bebas yang tidak dimiliki oleh mana-mana raja atau rakyat tetapi dimiliki oleh Islam dan para muslimin di mana jua berada. Hal ini menjelaskan bahawa kewajipan kita ke atas negeri Palestin, penduduknya dan kesuciannya yang berada di atas bumi tersebut.

Oleh sebab itu kita lihat semangat juang rakyat Palestin yang tinggi terus dipamerkan sebagaimana yang pernah nabi sebutkan: daripada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a: Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama2 kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya.Mereka tetap dalam keadaan demikian.” Maka para sahabat bertanya,”Dimanakah mereka?” Jawab Rasulullah.” Di Baitul Maqdis dan sekitarnya” (Bukhari)

Kita di Malaysia tidak terlepas daripada tanggungjawab membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Zionis dengan cara mendoakan kemenangan mereka, menghulurkan bantuan kewangan buat memenuhi keperluan mereka dan seterusnya menyebarkan maklumat kepada umat Islam tentang kekejaman Israel ke atas saudara kita di Palestin.
READ MORE - Isra’ dan Mi’raj

Sabtu, 3 Julai 2010

Jangan Remehkan Kebaikan (Amal Salih) Walau Sekecil Manapun


Saudara/i sekalian, semoga di dalam kesihatan dan rahmat Allah hendaknya. Kali ini saya ingin menyentuh satu perkara di mana ramai orang yang melupainya.

Sabda nabi saw dari Abu Zar r.a, Rasulullah bersabda:
لا تحْقِرَنّ مِنَ المَعْرُوفِ شَيْئا
“Janganlah kamu meremehkan kebaikan walaupun kecil”. (Riwayat Muslim dan Ahmad)

Dalam hadith ini nabi melarang kita meremehkan kebaikan walaupun ianya kecil kerana beberapa sebab;

1. Seringkali kebaikan yang dianggap remeh oleh orang ternyata merupakan kebaikan yang terbesar dan mendatangkan pahala yang banyak. Sebagai contoh adalah kalimah “Laa ilaha illah”, ramai orang yang meremehkannya. Seorang sahabat, Abu Zar Al-Ghifari pernah bertanya nabi; “Ya Rasulullah, berilah aku wasiat”. Baginda bersabda: “Jika kamu melakukan keburukan, maka iringilah keburukan itu dengan kebaikan yang akan mengha[uskannya”. Aku bertanya lagi; “Ya Rasulullah, apakah “Laa ilaha illah” termasuk kebaikan?. Nabi menjawab: “Ia adalah kebaikan yang paling utama”. (Bukhari)

2. Setiap kebaikan adalah sedekah. Sabda nabi: “Setiap kebaikan adalah sedekah”. (Muslim)
Kebaikan mempunyai makna sedekah bererti sekecil mana pun suatu kebaikan merupakan bukti keimanan kita.

3. Setiap kebaikan sekecil mana pun akan menghantar seorang muslim ke dalam syurga.
Sabda nabi: “Barangsiapa yang membuang batu di jalanan, ia akan dicatat telah mendapat satu kebaikan (pahala), dan barangsiapa mempunyai suatu kebaikan, maka ia akanmasuk syurga”. (Tabrani)

Hal ini disebabkan; Allah bersifat Maha Berterima Kasih (Syakur) akan membalas suatu amalan yang kecil dengan balasan yang besar dan mahal iaitu syurga. Sebab lain ialah penghalang seseorang memasuki syurga adalah dosa-dosanya. Justeru perkara kebaikan walaupun kecil akan menyebabkan Allah mengampuni dosa-dosanya.

4. Setiap kebaikan walaupun kecil akan melahirkan kebaikan yang lain. Jika kita melakukan kebaikan, maka akan menjadi pintu gerbang untuk memasuki pelbagai kebaikan yang lainnya. Jika kita meremehkan atau meninggalkannya, akan menutup pintu gerbang yang mendatangkan kebaikan-kebaikan tersebut.

Oleh itu diharapkan daripada huraian di atas akan mendorong kita semua untuk melakukan kebaikan atau amal salih dari yang sebesar-besar hingga sekecil-kecil supaya seluruh hidup kita penuh dengan manfaat untuk diri, keluarga, masyarakat dan agama tercinta.
READ MORE - Jangan Remehkan Kebaikan (Amal Salih) Walau Sekecil Manapun
Related Posts with Thumbnails