Ahad, 9 Oktober 2011

Tujuan beribadah

Oleh: Sheikh Fuad Hijrasyi

Di antara sifat-sifat orang yang beriman seperti yang dinyatakan dalam ayat terakhir Surah al-Fath:

“Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud.” (Al-Fath: 29)

 Mari kita lihat apa yang diperkatakan oleh para ‘abid yang berilmu, dan marilah kita lakukan seperti apa yang mereka lakukan dalam jihad yang berterusan sehingga kita sampai kepada tujuan beribadah dan mencapai makna ubudiyyah (penyembahan).

1 – Mencapai makna penyembahan:

Firman Allah SWT (bermaksud):

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.” (Az-Zariyyat: 56-58).

Allah adalah Khaliq sekalian makhluk. Oleh itu mereka wajib menyembah-Nya dan Allah tidak memerlukan apa jua dari makhluk. Sebaliknya makhluk wajib mengerjakan ibadah semata-mata untukNya. Tiada makhluk yang memberi sesuatu rezeki kepada-Nya dan tiada makhluk yang memberi sesuatu manfaat kepada-Nya tetapi: 

(Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.” (Az-Zariyyat: 58).

2 – Melaksanakan kewajipan bersyukur:

Allah SWT telah memberitahu tentang kisah Nabi Sulaiman a.s dalam ayat (bermaksud):

Berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".  (An-Naml: 40).

Firman Allah tentang kisah Luqman a.s (bermaksud):

“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”(Luqman: 12),

dan Firman Allah SWT (bermaksud):

“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu.”  (Ibrahim: 7).

3 – Menepati syarat-syarat kesempurnaan:

A – Iaitu dengan sibuk beribadah kepada Allah - dengan sendirinya merupakan kesempurnaan - akan menyampaikan hamba kepada kemuncak kemuliaan. Firman Allah SWT (bermaksud):

“Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman.” (Al-Munafiqun: 8),

Begitu juga orang yang sibuk beribadah kepada Allah dengan mengikut nabi dengan sebaik-baiknya, akan sampai ke tahap golongan yang dikasihi Allah. Firman Allah SWT (bermaksud):

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.” (Al-Imran: 31).

Manakala tentang kemuliaan, maka sudah tentu ianya hak mutlak Allah, Rasulullah saw dan para mukminin yang diperolehi hasil kesibukan beribadah kepada Allah dan penyembahan kepada-Nya. Manakala orang dikasihi Allah, ianya hanya tercapai apabila mengikuti Nabi berdasarkan syariat Allah yang di turunkan kepada para hambaNya dan mengikutinya dengan baik.

Hasil dari itu – sampai kepada tahap kemuliaan – mengikut nabi akan menjadi orang yang dikashi Allah – akan menerangi hati dengan cahaya ilahi.

Mengawasi lidah dengan zikir dan tilawah al-Quran.
Mengindahkan anggota badan dengan khidmat yang terbaik.

Menurut seorang ahli sarjana: "Sesiapa yang gembira berkhidmat kepada Allah, nescaya semua makhluk akan gembira berkhidmat kepadanya, dan sesiapa yang tenteram hatinya dengan Allah, nescaya semua makhluk akan merasa tenteram melihatnya."

B – Melaksanakan ibadah adalah amanah, dan melaksanakan amanah adalah kesempurnaan.

Firman Allah SWT (bermaksud):

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (AlAhzab: 72),

Amanah agama adalah seluruh agama dan amanah syariat adalah seluruh syariat.

Firman Allah SWT (bermaksud): 

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.”  (An-Nisa’: 58).

Mari kita lihat ..

Allah telah mencipta kita dalam bentuk yang terbaik, dan menjamin rezeki yang melimpah untuk kita .. Adakah kita menyembah kepadaNya untuk memperolehi demikian?

Allah telah berjanji di atas ibadah dengan balasan syurga, dan menjamin kita memperolehi keteguhan dan berkekalan. Adakah kita menyembah kepadaNya untuk memperolehi demikian?

Allah melimpah kepada kita dengan kurniaanNya, kerana Dialah Pencipta dan Pemberi rezeki yang berdasarkan dengan amal salih yang melayakkannya dengan syurga ..

Oleh itu, manakah perlaksanaan amanah yang telah dipikul oleh manusia, untuk memperolehi kurniaan dan nikmat-nikmat Allah yang terdahulu?!

Diriwayat mengenai seorang lelaki badwi memasuki masjid, lalu mengerjakan solat sambil meninggalkan untanya di luar tanpa ikatan atau pegangan di luar. Para hadirin berasa kagum dengan keelokan solatnya, panjangnya rukuk dan sujud, panjang wirid dan doanya, pada masa yang sama untanya telah berjalan-jalan di luar. Setelah selesai ibadahnya beliau segera keluar menjejaki untanya. Beliau berkata: “Saya telah melaksanakan amanahMu .. Oleh itu, manakah amanahku? Tidak lama kemudian, dia melihat ke sana sini mencari untanya hinggalah dating seorang lelaki yang membawa untanya, dan dia menyerahkan kepadanya sambil berkata: “Inilah amanahmu, lalu ia kembali kepadamu.”

Marilah kita memerhatikan pesanan Rasullah saw kepada sepupunya Abdullah bin Abbas r.a di mana baginda bersabda (bermaksud):

"Peliharalah Allah pasti Allah memelihara anda. " (Tirmizi)

C – Melaksanakan ibadah seolah-olah tenggelam dengan menghadirkan hatinya kepada Allah, yang memindahkan seorang hamba dari dunia yang menipu kepada dunia yang menggembirakan.

Diriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah menunaikan solat dan orang orang yang lain sedang duduk, tiba-tiba terjatuh seekor ular besar sehingga orang bertepiaran lari. Namun Abu Hanifah sedikitpun tidak berganjak, malah menyelesaikan solatnya. Lalu beliau telah ditanya tentang keadaan tadi. Beliau hanya berkata: “Saya tidak mengetahui.”

Kita boleh katakan bahawa beliau benat-benar tenggelam ketika beribadah... menghadirkan hatinya kepada Allah secara keseluruhan. Benar, beliau telah berada dalam dunia yang menggembirakan.

Marilah kita memerhatikan sekumpulan wanita dalam Surah Yusuf dan keadaan mereka semasa memegang pisau dan buah-buahan. Firman Allah SWT (bermaksud):

“Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka (Yusuf:31).

Selain itu, seorang ‘abid yang tidak tenggelam di dalam ibadahnya adalah seorang yang lalai atau berlakon. Di dalam sebuah hadis menyatakan dengan jelas tahap penerimaan amalan seseorang:

"Allah SWT itu baik, tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang baik.” (Muslim)

"Allah SWT tidak menerima sesuatu amalan kecuali yang ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah SWT. " (Ahmad)

Salah seorang sarjana Islam pernah berkata: "Orang miskin ialah golongan yang cuai kerana telah keluar dari dunia ini dan tidak merasai sesuatu yang lebih baik dari dunia."

Lalu beliau ditanya. Apakah ia? Beliau berkata: "Cinta kepada Allah dan cinta kepada manusia keranaNya."

Semua ini kita katakan: Tidak cukup kita melaksanakan ibadah hanya di peringkat pelaksanaan perintah, tetapi mesti dilakukan dalam keadaan merasai kelazatan, kecintaan dan kerehatan.

Solat adalah suatu kerehatan bagi Rasulullah saw:

“Wahai Bilal! Rehatkanlah kami dengan solat”. (Tabrani)

Rasulullah saw mendapat ketenangan di dalam solat. Sabdanya (bermaksud):

"Aku mendapat ketenangan dalam solat. " (Nasai)

 Aishah r.a pernah berkata:

" Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah saw, dan baginda berbual dengan kami dan kami pun berbual dengannya. Namun apabila tiba waktu solat baginda seolah-olah tidak mengenali kami dan kami juga tidak mengenalinya." (Tirmizi)

READ MORE - Tujuan beribadah

Sabtu, 10 September 2011

Jangan lupa puasa 6 Syawal

Oleh: Dr. Ahmad Hassan

Ramadhan telah berlalu dan kini Syawal telah tiba. Namun tarbiyah Ramadhan diikuti tarbiyah Syawal juga tarbiyah bulan-bulan lain semuanya dan berkesinambungan dengan ketaatan dan ibadah merupakan bukti penerimaan Ramadhan. Ini kerana Rasul saw bersabda:

“ Sesungguhnya setiap amalan perlu aktif dan setiap keaktifan adakalanya berlaku saat kemerosotan. Justeru barangsiapa semasa saat kemerosotannya kembali kepada sunnahku, maka dia memperolehi petunjuk tetapi barangsiapa semasa saat itu kembali kepada yang lainnya, maka ia pasti akan sesat”.

Wahai orang yang Allah berikan taufik kepadanya di bulan Ramadhan. Janganlah anda kembali kepada dosa-dosa yang anda lakukan sebelum Ramadhan seperti amalan mengumpat, mencerca, menipu, khianat dan sebagainya..kerana anda telah merasai kemanisan air mata dan kelazatan munajat yang merupakan saat yang paling bahagia bagi para hamba. Oleh itu janganlah anda tinggalkan kebahagiaan yang telah dinikmati itu. Begitu juga amalan qiam, puasa, sedekah, tilawah al-Quran dan zikir.

Puasa sunat di bulan Syawal selepas Ramadhan adalah di antara peluang terbaik kerana orang yang berpuasa masih berada pada ketaatan dan ibadah yang lain setelah selesai puasa Ramadhan.

Nabi saw telah menyatakan kepada umatnya tentang kelebihan puasa enam Syawal dan mendorong mereka dengan menggunakan teknik galakan supaya melaksanakan puasa 6 hari ini..sabda nabi saw:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawal, maka ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun”. (Muslim dan lainnya)

Menurut Imam Nawawi: Para ulamak menyatakan: “Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah (pahala) mendapat 10 gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa 6 hari seumpama puasa dua bulan”.

Ibn Rejab menukilkan dari Ibn Mubarak katanya: Bagi yang berpuasa 6 Syawal secara berkesinambungan selepas puasa Ramadhan, maka dia wajib memperolehi pahala puasa sepanjang tahun.

Jikalau tanda penerimaan sesuatu ibadah ialah kecenderungan melakukan ibadah seterusnya, maka puasa 6 Syawal selepas Ramadhan adalah bukti kesyukuran orang berpuasa kepada Allah kerana memberi taufik kepada puasa Ramadhan dan menambahkan kebaikan, sepertimana puasanya sebagai bukti kecintaan kepada ibadah dan ketaatan dan kecenderungan untuk meneruskan jalan ibadah. Bahkan ia seakan-akan suatu perjanjian dengan Allah untuk bersungguh-sungguh beribadah dan melaksanakan ketaatan kerana ia tidak mahu hanya beribadah kepada Allah di bulan Ramadhan dan meninggalkan ibadah selepas Ramadhan.

Al-Hafiz Ibn Rejab al-Hanbali berkata: “Orang yang menggantikan nikmat taufik puasa di bulan Ramadhan dengan melakukan maksiat selepasnya, maka sebenarnya dia seperti orang menukarkan nikmat Allah dengan kekufuran. Ada yang mengatakan kepada Bisyr al-Hafiy: Suatu kaum yang beribadah dan bersungguh-sungguh di bulan Ramadhan. Lalu Bisyr berkata: Seburuk-buruk suatu kaum ialah yang tidak mengenali Allah dengan sebenarnya kecuali di bulan Ramadhan sebaliknya orang soleh sentiasa beribadah dan bersungguh-sungguh sepanjang tahun”.

Di antara hikmat puasa 6 Syawal

1. Puasa 6 Syawal selepas Ramadhan menyempurnakan pahala puasa sepanjang tahun bagi seorang muslim.

2. Puasa di bulan Syawal dan Syaaban sama seperti solat sunat dan solat rawatib sebelum atau selepas solat fardu yang berfungsi menampung segala kekurangan dan kecacatan dalam ibadah fardu, kerana ibadah fardu disempurnakan oleh ibadah nawafil di hari Kiamat. Bahkan ramai orang yang puasanya terdapat kekurangan dan kecacatan, maka ia perlukan amalan yang dapat menampung atau melengkapkan kekurangan itu.

3. Puasa Ramadhan mewajibkan seseorang memperolehi keampunan daripada dosa-dosa yang terdahulu. Oleh itu kembali berpuasa selepas Eidul Fitri sebagai tanda syukur kepada nikmat ini kerana tiada nikmat yang lebih besar daripada keampunan daripada dosa.

Allah telah memerintahkan hambaNya supaya mensyukuri nikmat puasa Ramadhan dengan sentiasa mengingatiNya, berzikir dan bermacam-macam cara bersyukur yang lain. Firman Allah:

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur” (Al-Baqarah: 185)

Justeru tanda kesyukuran hamba kepada Allah di atas taufikNya dengan puasa Ramadhan, pertolongan dan keampunan daripada dosa ialah melaksanakan ibadah puasa sunat seterusnya.

4. Amalan-amalan yang mendekatkan seorang hamba dengan Allah pada bulan Ramadhan tidak terhenti dengan berlalunya Ramadhan, bahkan masih kekal selagi hamba itu hidup. Oleh itu berpuasa selepas Eidul Fitri menunjukkan kembalinya kepada keinginan untuk berpuasa. Baginya puasa tidak menjemukan dan membebankannya.

Permasalahan berkaitan puasa 6 Syawal

-Setengah orang berpendapat bahawa jika tahun ini mereka berpuasa 6 Syawal, maka mereka mesti berpuasa 6 Syawal pada setiap tahun. Pendapat ini tidak betul kerana ibadah ini adalah pilihan semata-mata sama ada mahu berpuasa tahun ini atau tidak pada tahun berikutnya. Bukanlah wajib berpuasa setiap tahun.

Marilah kita mengingati firman Allah:

“Dan bersegralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa ”. (Ali-Imran:133)

-Setengah orang berpendapat bila seseorang telah mula berpuasa 6 hari di bulan Syawal maka ia mestilah menyelesaikannya sekaligus dan tidak boleh berhenti atau terputus sehari atau dua hari sama ada atas sesuatu sebab atau sakit semsa puasa. Pendapat ini tidak betul kerana orang yang melakukan amalan sunat berhak ke atas dirinya. Ia boleh memutuskan puasanya pada bila-bila masa yang dia mahu berdasarkan sabda nabi saw:

الصائم المتطوع أمير نفسه، إن شاء صام وإن شاء أفطر

“Orang yang berpuasa sunat adalah ketua (berhak) ke atas dirinya dia boleh memilih sama ada mahu berpuasa atau berbuka (tidak berpuasa)”. (Tirmizi)

-Bagi orang yang mahu berpuasa 6 Syawal sepatutnya memulakan niat puasa pada malamnya, kerana puasa pada hari-hari yang khusus pada waktu yang terbatas mempunyai ganjaran yang khusus dan tidak sama seperti puasa sunat mutlak.

-Bagi sesiapa yang tertinggal puasa beberapa hari di bulan Ramadhan, maka ia mestilah mengqada’nya (menggantikannya) dahulu, kemudian barulah berpuasa 6 Syawal kerana puasa Ramadhan adalah ibadah fardu dan puasa 6 Syawal adalah sunat sahaja berdasarkan zahir hadith:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari di bulan Syawal..”. (Hadith)


Namun masalah ini tidak terlepas daripada perbezaan pendapat ulamak.

-Disunatkan bersegera melaksanakan puasa 6 Syawal yang dimulakan pada hari kedua Syawal, tetapi tidak menjadi masalah jika melewatkan pada pertengahan bulan atau penghujung bulan.

-Puasa Ramadhan yang diikuti puasa 6 hari di bulan Syawal ganjarannya menyamai puasa sepanjang tahun kerana satu hasanah menyamai 10 gandaan berdasarkan hadith Thuban r.a dari nabi saw yang bersabda:

“Puasa Ramadhan pahalanya menyamai sepuluh bulan. Puasa enam hari di bulan Syawal pahalanya menyamai dua bulan. Dengan itu seolah-olah puasa sepanjang tahun”. (Ahmad dan Ibn Hibban)

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=70477&SecID=363
READ MORE - Jangan lupa puasa 6 Syawal

Sabtu, 20 Ogos 2011

Amalan 10 malam akhir Ramadhan


Oleh: Ahmad Zahran

Diriwayatkan tentang Aswad bin Yazid an-Nakhaei bahawa beliau seorang yang gigih beribadah, dia berpuasa sehingga tubuhnya menjadi hijau pucat dan kekuningan. Alqamah bin Qis berkata kepada Aswad: “Aduh! kenapa anda menyiksakan tubuh badan ini? Aswad menjawab: Saya mahu merehatkan tubuh ini. Inilah perkara yang baik. Inilah perkara yang baik. Ketika tubuh menjadi hijau pucat saya menangis. Aswad ditanya lagi: Apakah anda merasa bersedih hati? Aswad berkata: Saya tidak merasa bersedih hati. Siapakah yang lebih berhak tentang hal itu dari saya sendiri? Demi Allah, kalau Allah datangkan kepada saya keampunan nescaya saya rasa malu dengan apa yang saya telah buat. Seorang lelaki yang mahu menjadikan dirinya dan seorang lelaki  yang memiliki dosa kecil yang mahu memaafkannya tetap merasai malu dengan dirinya. (Hilyatul Auliya’ dan Sairu A’lam al-Nubala’)

Inilah malam yang disambut dengan perasaan cinta dan asyik, malam-malam 10 akhir Ramadhan yang membawa bersamanya satu tanda iaitu kesungguhan, iaitu tanda malam yang paling besar kerana ia menghubungkan seorang itu kepada Tuhannya. Dia mengetahui bahwa malam-malam ini adalah hari-hari yang tertentu dan istimewa yang memimpinnya dengan penuh kecintaan dan keasyikan kepada Allah.

Hassan al-Basri r.a pernah berkata:

“Hati yang mencintai Allah tentu menyukai kepenatan dan mengutamakan kesibukan. Bahkan tidak akan meraih syurga bagi orang yang mengutamakan kerehatan. Barangsiapa yang lebih mencintai Allah dia seorang pemurah terhadap dirinya dengan tulus dan meninggalkan kerehatan kerana ia adalah senjata untuk orang yang lemah”.

Menurut Imam Syafie r.a:

“Disunatkan menambahkan kesungguhan beribadah pada 10 akhir Ramadhan”.

Namun kenapa 10 malam akhir?

10 malam ini lebih utama daripada 20 hari yang lalu. Ibn Rejab telah menyatakan: “Pada setiap masa secara umumnya ada yang utama pada waktu malam dan siang, di mana waktu akhirnya lebih utama daripada awalnya seperti hari Arafah dan hari Jumaat. Begitu juga malam dan siang pada umumnya yang akhir lebih utama daripada awalnya”.

Salah satu 10 malam itu ialah Malam Laitul Qadar.

Firman Allah:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu Apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) Kesejahteraan sampai terbit fajar”. (Al-Qadar:1-5)
Daripada Aisyah r.a:

“Rasulullah saw sering beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan  dan bersabda: “Carilah malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan”. (Bukari, Muslim dan Tirmizi)

Terdapat hadith yang menyebutkan tentang kelebihan beribadah di malam Laitul Qadar sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Rasulullah telah menyatakan bahawa sesiapa yang mendirikan ibadah pada malam Laitul Qadar dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosa yang terdahulu.

Daripada Abu Hurairah r.a dari nabi saw bersabda:

“Barangsiapa yang menghidupkan malam Laitul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”. (Bukhari dan Muslim)

Amalan-amalan soleh pada 10 malam akhir Ramadhan

Seandainya kita akan meninggikan slogan: “Tidak akan meraih syurga bagi orang yang mengutamakan kerehatan” pada 10 malam ini, maka semestinya kita memberikan perhatian dan menggiatkan amal-amal soleh. Antaranya ialah:

1. Menghidupkan malam

Telah diriwayatkan di dalam hadith sahih daripada Aisyah r.a bahawa Nabi saw bila masuk 10 malam akhir baginda akan menghidupkan malam, membangunkan isteri-isterinya, mengetatkan tali kainnya. Makna menghidupkan malam iaitu berjaga malam dengan mendirikan solat, zikir dan sebagainya.

 Aisyah r.a telah berkata:

“Saya tidak mengetahui Rasul saw membaca al-Quran semuanya pada satu malam, tidak bangun untuk solat sehingga subuh dan tidak puasa penuh selain di bulan Ramadhan”. (Nasai)

2. Iktikaf

Sebuah hadith sahih daripada Abu Said al-Khudri r.a berkata: Rasulullah saw beriktikaf pada sepuluh hari yang pertama di bulan Ramadhan, kemudian beriktikaf pada sepuluh pertengahan di dalam Qubbah Turkiyah. Qubbah ialah sebuah khemah yang berbentuk bulat, pintu yang dibuat dari tikar. Said berkata: Nabi mengambil tikar dengan tangannya dan diletakkan di sudut khemah, kemudian menjengukkan kepalanya. Maka orang berkata sambil menghampiri baginda. Lantas nabi bersabda: Aku beriktikaf pada sepuluh malam yang awal dengan memenuhi malam-malam ini, kemudian aku beriktikaf pada sepuluh pertengahan Ramadhan, kemudian aku didatangi seorang sahabat, lalu berkata: Bagi saya ialah sepuluh malam yang terakhir. Orang yang menyukai beriktikaf dari kamu maka beriktikaflah. Lalu ramai sahabat yang beriktikaf bersama baginda. Menurut Abu Said: Aku lihat malamnya berlaku pada malam ganjil. Aku sujud pada keesokan paginya di atas tanah dan air. Ia bermula pada malam 21. Nabi saw menghidupkan malamnya sehingga subuh. Apabila hujan turun dari langit baginda berpindah ke dalam masjid. Aku lihat tanah dan air. Baginda keluar apabila selesai solat subuh sambil jubah dan hidung baginda disaluti tanah dan air. Peristiwa ini berlaku pada malam 21 yang merupakan 10 malam akhir Ramadhan. (Muslim)

Terdapat riwayat Imam Bukhari bahawa nabi saw beriktikaf pada tahun kewafatannya selama dua puluh hari .

Menurut Imam Zuhri Rahimahullah: “Sungguh menghairankan tentang orang-orang Islam, mereka sentiasa beriktikaf bersama nabi saw dan tidak pernah meninggalkannya sejak tiba di Madinah sehingga Allah mencabut nyawanya”.

3. Pelbagai ibadah

Terdapat riwayat bahwa nabi saw berusaha bersungguh-sungguh pada 10 malam ini lebih daripada malam yang lain. Kesungguhan ini menyeluruh dalam semua ibadah seperti solat, tilawah al-Quran, berzikir, sedekah dan sebagainya. Bahkan nabi saw mengetatkan kainnya yang bermaksud menjauhi isteri-isterinya untuk menumpukan kepada solat dan berzikir. Bahkan nabi saw menghidupkan malamnya dengan qiam, membaca al-Quran, berzikir dengan hati, lidah dan anggotanya. Semua ini kerana baginda mahu memuliakan malam-malam 10 ini disamping berharap dapat menemui malam Laitul Qadar di mana sesiapa yang didirikannya dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu oleh Allah.

4. Membangkitkan keluarga  
  
Ini termasuk dalam bab “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya” (Muslim).

Nabi saw tidak membiarkan seorangpun dari isteri-isterinya yang berkemampuan untuk bangun beribadah dan berjaga malam serta memiliki kekuatan untuk itu melainkan nabi akan membangkitkannya. Di dalam Kitab Fath al-Bari menyebutkan riwayat dari Tirmizi dan Muhammad bin Nasir dari hadith Zainab binti Ummu Salamah: “Nabi saw tidak membiarkan isteri-isterinya yang berkemampuan untuk bangun pada 10 malam penghujung Ramadhan melainkan nabi mengejutkannya. Bahkan nabi saw didapai beribadah pada bulan ini lebih banyak daripada bulan yang lain. Malah nabi bersungguh-sungguh pada 10 yang akhir yang tidak sama kesungguhan nabi dalam 20 hari yang pertama di bulan Ramadhan. (Tirmizi)

Dari Aisyah r.a berkata: “Nabi saw memenuhi malam 20 hari yang awal dengan solat dan tidur. Namun pada 10 yang terakhir nabi saw mengetatkan tali pinggang kainnya  dan berjaga malamnya, menjauhi tempat tidurnya dan meninggalkan tidur  - biarpun waktu tidur sepanjang usianya agak kurang - dan memastikan isteri-isterinya yang berkemampuan untuk bangun bersamanya”. (Ahmad)

Daripada Aisyah r.a berkata: Rasulullah saw menghidupkan malam dengan solat, doa dan ibadah-ibadah yang lain. Baginda memastikan isteri-isterinya turut sama dalam kebaikan ini dengan membangkitkan mereka untuk qiam bersamanya”. (Muslim)

Ini adalah dalil disyariatkan membangkitkan isteri dan anak pada 10 malam.  Maksudnya di sini ialah menguatkan hukum sunat membangkitkan isteri. Tetapi tidak di sunatkan bagi semua hari.

Hadith dari Abu Soleh dari Abu Hurairah r.a bahwa nabi saw bersabda:

“Allah merahmati lelaki yang bangun malam untuk mendirikan solat, kemudian membangkitkan isterinya lalu bersolat. Tetapi jika enggan maka renjiskanlah air di mukanya. Allah merahmati wanita yang bangun dan mendirikan solat, kemudian membangkitkan suaminya lalu solat. Tetapi jika enggan, maka renjiskanlah air di mukanya”. (Abu Daud)

Sufyan At-Thauri berkata: “Amalan yang paling aku sukai apabila masuk 10 malam akhir Ramadhan ialah bertahajud di waktu malam dan bersungguh-sungguh bertahajud, dan membangunkan isteri dan anak untuk mendirikan solat seandainya mereka berkemampuan melaksanakannya”. 

Satu riwayat yang sahih bahwa nabi saw membangkitkan Fatimah dan Ali pada waktu malam. Lalu nabi berkata kepada keduanya: “Hendaklah kamu berdua bangun, lalu keduanya mendirikan solat”. (Bukhari)
 
5. Memperbanyakkan doa

Malam 10 akhir adalah malam-malam yang penuh kebaikan, kebajikan dan ihsan. Nabi saw menyatakan kepada orang yang berpuasa bahawa berdoa ketika berbuka tidak ditolak oleh Allah.

Nabi turut mengkhabarkan bahawa Allah SWT turun pada ¾ malam, lalu nabi bersabda:
 
“Barangsiapa yang berdoa ketika itu pasti dikabulkan dan barangsiapa yang beristighfar (memohon ampun) pasti akan diampunkan dosanya”.(Tirmizi dan Ibn Majah)

Ketika Aisyah r.a bertanya nabi dengan berkata: 

"Apakah pendapatmu seandainya engkau tahu bahwa malam itu adalah malam Lailatul Qadar apa yang patut aku doakan? Lantas Nabi mengajarkan: “Bacalah: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني. (Tirmizi dan Ibn Majah)

6. Menjauhi persengketaan dan permusuhan

Ini kerana persengketaan merupakan sebab sesuatu kebaikan terhalang dan terlindung.

Dari Ubadah bin Somit r.a berkata: Nabi telah keluar untuk memberitahu kami tentang malam Laitul Qadar, tetapi nabi telah melihat dua lelaki Islam sedang bersengketa dan bertengkar. Lalu nabi bersabda: “Aku telah keluar untuk memberitahu kalian tentang malam Lailatul Qadar tetapi dua lelaki telah bertengkar menyebabkan kebaikan malam itu diangkat”. (Bukhari)

7. Banyak membaca al-Quran

Seandainya anda mengkhatamkan al-Quran setiap minggu pada 20 hari pertama Ramadhan tentu anda boleh mengkhatamkan setiap tiga hari pada 10 hari akhir Ramadhan. Seandainya anda mengkhatamkan setiap tiga hari pada 20 hari pertama Ramadhan sudah tentu anda mampu mengkhatamkan setiap malam pada 10 hari akhir Ramadhan. Inilah amalan para salaf as-saleh.

Diriwayatkan bahawa Aswad bin Yazid mengkahatamkan al-Quran setiap enam hari. Tetapi apabila masuk bulan Ramadhan beliau mengkhatamkan dalam tiga malam, bahkan apabila masuk 10 malam yang akhir beliau mengkhatamkan setiap malam. Demikian riwayat tentang Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie yang mengkhatamkan setiap malam.

Al-hafiz Ibn Rejab berpendapat dalam keadaan biasa beliau melarang membaca al-Quran kurang dari tiga hari khatam. Tetapi semasa berada di tempat yang afdal seperti Mekah atau semasa waktu yang afdal seperti bulan Ramadhan dan 10 yang akhir, tidak makruh mengkhatamkan kurang tiga hari sebagaimana yang dilakukan oleh salaf as-soleh.

8. Mandi dan memakai pakaian baru

Diriwayatkan bahwa para salaf as-soleh apabila memasuki 10 malam mereka mandi setiap amalam dan mengkhususnya malam ganjil dengan memakai pakaian baru. Ibn Jarir berkata: Mereka suka mandi setiap malam 10 akhir. Nakhae mandi setiap malam 10 akhir. Di antara mereka mandi dan memakai pakaian cantik pada malam-malam yang diharapkan Laitul Qadar.

Menurut Hamad bin Salamah: Thabit al-Banani dan Hamed al-Towil memakai sebaik-baik pakaian, kelihatan kemas dan mengindahkan masjid pada malam yang diharapkan Lailatul Qadar. Menurut Thabit: Tamim ad-Dary  membeli pakaian dengan harga seribu dirham dan dipakai pada malam-malam yang diharapkan Lailatul Qadar.

Menurut Ibn Jarir: Kebanyakan salaf- soleh mereka mandi pada setiap malam 10 akhir. Di antara mereka Ayub As-Sakhtiany. Imam Malik turut melakukan perkara yang sama bila dinyakini malam Laitul Qadar. Beliau mandi dan memakai pakaian yang cantik. Beliau tidak akan memakainya lagi kecuali pada bulan Ramadhan akan datang. Begitu juga salaf- soleh yang lain.

Ayuhlah wahai saudaraku..kita merebut malam 10 akhir Ramadhan sebagai jalan menuju ke syurga dan keredhaan Allah, bahkan kita berusaha bersungguh-sungguh semampu mungkin. Kita mengingati bahwa orang yang mengharamkan dirinya daripada meraih kelebihan bulan ini maka haram baginya kemapunan dan pembebasan daripada api neraka. Kita mohon kepada Allah supaya menjadikan kita ke dalam golongan orang yang dibebaskan daripada api nereka dan orang-orang yang diterima amal ibadahnya.

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=53843&SecID=363
READ MORE - Amalan 10 malam akhir Ramadhan
Related Posts with Thumbnails