Sabtu, 20 Ogos 2011

Amalan 10 malam akhir Ramadhan


Oleh: Ahmad Zahran

Diriwayatkan tentang Aswad bin Yazid an-Nakhaei bahawa beliau seorang yang gigih beribadah, dia berpuasa sehingga tubuhnya menjadi hijau pucat dan kekuningan. Alqamah bin Qis berkata kepada Aswad: “Aduh! kenapa anda menyiksakan tubuh badan ini? Aswad menjawab: Saya mahu merehatkan tubuh ini. Inilah perkara yang baik. Inilah perkara yang baik. Ketika tubuh menjadi hijau pucat saya menangis. Aswad ditanya lagi: Apakah anda merasa bersedih hati? Aswad berkata: Saya tidak merasa bersedih hati. Siapakah yang lebih berhak tentang hal itu dari saya sendiri? Demi Allah, kalau Allah datangkan kepada saya keampunan nescaya saya rasa malu dengan apa yang saya telah buat. Seorang lelaki yang mahu menjadikan dirinya dan seorang lelaki  yang memiliki dosa kecil yang mahu memaafkannya tetap merasai malu dengan dirinya. (Hilyatul Auliya’ dan Sairu A’lam al-Nubala’)

Inilah malam yang disambut dengan perasaan cinta dan asyik, malam-malam 10 akhir Ramadhan yang membawa bersamanya satu tanda iaitu kesungguhan, iaitu tanda malam yang paling besar kerana ia menghubungkan seorang itu kepada Tuhannya. Dia mengetahui bahwa malam-malam ini adalah hari-hari yang tertentu dan istimewa yang memimpinnya dengan penuh kecintaan dan keasyikan kepada Allah.

Hassan al-Basri r.a pernah berkata:

“Hati yang mencintai Allah tentu menyukai kepenatan dan mengutamakan kesibukan. Bahkan tidak akan meraih syurga bagi orang yang mengutamakan kerehatan. Barangsiapa yang lebih mencintai Allah dia seorang pemurah terhadap dirinya dengan tulus dan meninggalkan kerehatan kerana ia adalah senjata untuk orang yang lemah”.

Menurut Imam Syafie r.a:

“Disunatkan menambahkan kesungguhan beribadah pada 10 akhir Ramadhan”.

Namun kenapa 10 malam akhir?

10 malam ini lebih utama daripada 20 hari yang lalu. Ibn Rejab telah menyatakan: “Pada setiap masa secara umumnya ada yang utama pada waktu malam dan siang, di mana waktu akhirnya lebih utama daripada awalnya seperti hari Arafah dan hari Jumaat. Begitu juga malam dan siang pada umumnya yang akhir lebih utama daripada awalnya”.

Salah satu 10 malam itu ialah Malam Laitul Qadar.

Firman Allah:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu Apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) Kesejahteraan sampai terbit fajar”. (Al-Qadar:1-5)
Daripada Aisyah r.a:

“Rasulullah saw sering beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan  dan bersabda: “Carilah malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan”. (Bukari, Muslim dan Tirmizi)

Terdapat hadith yang menyebutkan tentang kelebihan beribadah di malam Laitul Qadar sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Rasulullah telah menyatakan bahawa sesiapa yang mendirikan ibadah pada malam Laitul Qadar dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosa yang terdahulu.

Daripada Abu Hurairah r.a dari nabi saw bersabda:

“Barangsiapa yang menghidupkan malam Laitul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”. (Bukhari dan Muslim)

Amalan-amalan soleh pada 10 malam akhir Ramadhan

Seandainya kita akan meninggikan slogan: “Tidak akan meraih syurga bagi orang yang mengutamakan kerehatan” pada 10 malam ini, maka semestinya kita memberikan perhatian dan menggiatkan amal-amal soleh. Antaranya ialah:

1. Menghidupkan malam

Telah diriwayatkan di dalam hadith sahih daripada Aisyah r.a bahawa Nabi saw bila masuk 10 malam akhir baginda akan menghidupkan malam, membangunkan isteri-isterinya, mengetatkan tali kainnya. Makna menghidupkan malam iaitu berjaga malam dengan mendirikan solat, zikir dan sebagainya.

 Aisyah r.a telah berkata:

“Saya tidak mengetahui Rasul saw membaca al-Quran semuanya pada satu malam, tidak bangun untuk solat sehingga subuh dan tidak puasa penuh selain di bulan Ramadhan”. (Nasai)

2. Iktikaf

Sebuah hadith sahih daripada Abu Said al-Khudri r.a berkata: Rasulullah saw beriktikaf pada sepuluh hari yang pertama di bulan Ramadhan, kemudian beriktikaf pada sepuluh pertengahan di dalam Qubbah Turkiyah. Qubbah ialah sebuah khemah yang berbentuk bulat, pintu yang dibuat dari tikar. Said berkata: Nabi mengambil tikar dengan tangannya dan diletakkan di sudut khemah, kemudian menjengukkan kepalanya. Maka orang berkata sambil menghampiri baginda. Lantas nabi bersabda: Aku beriktikaf pada sepuluh malam yang awal dengan memenuhi malam-malam ini, kemudian aku beriktikaf pada sepuluh pertengahan Ramadhan, kemudian aku didatangi seorang sahabat, lalu berkata: Bagi saya ialah sepuluh malam yang terakhir. Orang yang menyukai beriktikaf dari kamu maka beriktikaflah. Lalu ramai sahabat yang beriktikaf bersama baginda. Menurut Abu Said: Aku lihat malamnya berlaku pada malam ganjil. Aku sujud pada keesokan paginya di atas tanah dan air. Ia bermula pada malam 21. Nabi saw menghidupkan malamnya sehingga subuh. Apabila hujan turun dari langit baginda berpindah ke dalam masjid. Aku lihat tanah dan air. Baginda keluar apabila selesai solat subuh sambil jubah dan hidung baginda disaluti tanah dan air. Peristiwa ini berlaku pada malam 21 yang merupakan 10 malam akhir Ramadhan. (Muslim)

Terdapat riwayat Imam Bukhari bahawa nabi saw beriktikaf pada tahun kewafatannya selama dua puluh hari .

Menurut Imam Zuhri Rahimahullah: “Sungguh menghairankan tentang orang-orang Islam, mereka sentiasa beriktikaf bersama nabi saw dan tidak pernah meninggalkannya sejak tiba di Madinah sehingga Allah mencabut nyawanya”.

3. Pelbagai ibadah

Terdapat riwayat bahwa nabi saw berusaha bersungguh-sungguh pada 10 malam ini lebih daripada malam yang lain. Kesungguhan ini menyeluruh dalam semua ibadah seperti solat, tilawah al-Quran, berzikir, sedekah dan sebagainya. Bahkan nabi saw mengetatkan kainnya yang bermaksud menjauhi isteri-isterinya untuk menumpukan kepada solat dan berzikir. Bahkan nabi saw menghidupkan malamnya dengan qiam, membaca al-Quran, berzikir dengan hati, lidah dan anggotanya. Semua ini kerana baginda mahu memuliakan malam-malam 10 ini disamping berharap dapat menemui malam Laitul Qadar di mana sesiapa yang didirikannya dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu oleh Allah.

4. Membangkitkan keluarga  
  
Ini termasuk dalam bab “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya” (Muslim).

Nabi saw tidak membiarkan seorangpun dari isteri-isterinya yang berkemampuan untuk bangun beribadah dan berjaga malam serta memiliki kekuatan untuk itu melainkan nabi akan membangkitkannya. Di dalam Kitab Fath al-Bari menyebutkan riwayat dari Tirmizi dan Muhammad bin Nasir dari hadith Zainab binti Ummu Salamah: “Nabi saw tidak membiarkan isteri-isterinya yang berkemampuan untuk bangun pada 10 malam penghujung Ramadhan melainkan nabi mengejutkannya. Bahkan nabi saw didapai beribadah pada bulan ini lebih banyak daripada bulan yang lain. Malah nabi bersungguh-sungguh pada 10 yang akhir yang tidak sama kesungguhan nabi dalam 20 hari yang pertama di bulan Ramadhan. (Tirmizi)

Dari Aisyah r.a berkata: “Nabi saw memenuhi malam 20 hari yang awal dengan solat dan tidur. Namun pada 10 yang terakhir nabi saw mengetatkan tali pinggang kainnya  dan berjaga malamnya, menjauhi tempat tidurnya dan meninggalkan tidur  - biarpun waktu tidur sepanjang usianya agak kurang - dan memastikan isteri-isterinya yang berkemampuan untuk bangun bersamanya”. (Ahmad)

Daripada Aisyah r.a berkata: Rasulullah saw menghidupkan malam dengan solat, doa dan ibadah-ibadah yang lain. Baginda memastikan isteri-isterinya turut sama dalam kebaikan ini dengan membangkitkan mereka untuk qiam bersamanya”. (Muslim)

Ini adalah dalil disyariatkan membangkitkan isteri dan anak pada 10 malam.  Maksudnya di sini ialah menguatkan hukum sunat membangkitkan isteri. Tetapi tidak di sunatkan bagi semua hari.

Hadith dari Abu Soleh dari Abu Hurairah r.a bahwa nabi saw bersabda:

“Allah merahmati lelaki yang bangun malam untuk mendirikan solat, kemudian membangkitkan isterinya lalu bersolat. Tetapi jika enggan maka renjiskanlah air di mukanya. Allah merahmati wanita yang bangun dan mendirikan solat, kemudian membangkitkan suaminya lalu solat. Tetapi jika enggan, maka renjiskanlah air di mukanya”. (Abu Daud)

Sufyan At-Thauri berkata: “Amalan yang paling aku sukai apabila masuk 10 malam akhir Ramadhan ialah bertahajud di waktu malam dan bersungguh-sungguh bertahajud, dan membangunkan isteri dan anak untuk mendirikan solat seandainya mereka berkemampuan melaksanakannya”. 

Satu riwayat yang sahih bahwa nabi saw membangkitkan Fatimah dan Ali pada waktu malam. Lalu nabi berkata kepada keduanya: “Hendaklah kamu berdua bangun, lalu keduanya mendirikan solat”. (Bukhari)
 
5. Memperbanyakkan doa

Malam 10 akhir adalah malam-malam yang penuh kebaikan, kebajikan dan ihsan. Nabi saw menyatakan kepada orang yang berpuasa bahawa berdoa ketika berbuka tidak ditolak oleh Allah.

Nabi turut mengkhabarkan bahawa Allah SWT turun pada ¾ malam, lalu nabi bersabda:
 
“Barangsiapa yang berdoa ketika itu pasti dikabulkan dan barangsiapa yang beristighfar (memohon ampun) pasti akan diampunkan dosanya”.(Tirmizi dan Ibn Majah)

Ketika Aisyah r.a bertanya nabi dengan berkata: 

"Apakah pendapatmu seandainya engkau tahu bahwa malam itu adalah malam Lailatul Qadar apa yang patut aku doakan? Lantas Nabi mengajarkan: “Bacalah: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني. (Tirmizi dan Ibn Majah)

6. Menjauhi persengketaan dan permusuhan

Ini kerana persengketaan merupakan sebab sesuatu kebaikan terhalang dan terlindung.

Dari Ubadah bin Somit r.a berkata: Nabi telah keluar untuk memberitahu kami tentang malam Laitul Qadar, tetapi nabi telah melihat dua lelaki Islam sedang bersengketa dan bertengkar. Lalu nabi bersabda: “Aku telah keluar untuk memberitahu kalian tentang malam Lailatul Qadar tetapi dua lelaki telah bertengkar menyebabkan kebaikan malam itu diangkat”. (Bukhari)

7. Banyak membaca al-Quran

Seandainya anda mengkhatamkan al-Quran setiap minggu pada 20 hari pertama Ramadhan tentu anda boleh mengkhatamkan setiap tiga hari pada 10 hari akhir Ramadhan. Seandainya anda mengkhatamkan setiap tiga hari pada 20 hari pertama Ramadhan sudah tentu anda mampu mengkhatamkan setiap malam pada 10 hari akhir Ramadhan. Inilah amalan para salaf as-saleh.

Diriwayatkan bahawa Aswad bin Yazid mengkahatamkan al-Quran setiap enam hari. Tetapi apabila masuk bulan Ramadhan beliau mengkhatamkan dalam tiga malam, bahkan apabila masuk 10 malam yang akhir beliau mengkhatamkan setiap malam. Demikian riwayat tentang Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie yang mengkhatamkan setiap malam.

Al-hafiz Ibn Rejab berpendapat dalam keadaan biasa beliau melarang membaca al-Quran kurang dari tiga hari khatam. Tetapi semasa berada di tempat yang afdal seperti Mekah atau semasa waktu yang afdal seperti bulan Ramadhan dan 10 yang akhir, tidak makruh mengkhatamkan kurang tiga hari sebagaimana yang dilakukan oleh salaf as-soleh.

8. Mandi dan memakai pakaian baru

Diriwayatkan bahwa para salaf as-soleh apabila memasuki 10 malam mereka mandi setiap amalam dan mengkhususnya malam ganjil dengan memakai pakaian baru. Ibn Jarir berkata: Mereka suka mandi setiap malam 10 akhir. Nakhae mandi setiap malam 10 akhir. Di antara mereka mandi dan memakai pakaian cantik pada malam-malam yang diharapkan Laitul Qadar.

Menurut Hamad bin Salamah: Thabit al-Banani dan Hamed al-Towil memakai sebaik-baik pakaian, kelihatan kemas dan mengindahkan masjid pada malam yang diharapkan Lailatul Qadar. Menurut Thabit: Tamim ad-Dary  membeli pakaian dengan harga seribu dirham dan dipakai pada malam-malam yang diharapkan Lailatul Qadar.

Menurut Ibn Jarir: Kebanyakan salaf- soleh mereka mandi pada setiap malam 10 akhir. Di antara mereka Ayub As-Sakhtiany. Imam Malik turut melakukan perkara yang sama bila dinyakini malam Laitul Qadar. Beliau mandi dan memakai pakaian yang cantik. Beliau tidak akan memakainya lagi kecuali pada bulan Ramadhan akan datang. Begitu juga salaf- soleh yang lain.

Ayuhlah wahai saudaraku..kita merebut malam 10 akhir Ramadhan sebagai jalan menuju ke syurga dan keredhaan Allah, bahkan kita berusaha bersungguh-sungguh semampu mungkin. Kita mengingati bahwa orang yang mengharamkan dirinya daripada meraih kelebihan bulan ini maka haram baginya kemapunan dan pembebasan daripada api neraka. Kita mohon kepada Allah supaya menjadikan kita ke dalam golongan orang yang dibebaskan daripada api nereka dan orang-orang yang diterima amal ibadahnya.

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=53843&SecID=363
READ MORE - Amalan 10 malam akhir Ramadhan

Khamis, 4 Ogos 2011

Kelebihan Bulan Ramadan

Oleh: Syeikh Hijazi Ibrahim Tharya

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga dan para sahabatnya, serta orang-orang yang mengikutinya dengan baik sehingga hari kiamat. Selepasnya:

Firman Allah SWT (bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana orang-orang terdahulu sebelum  kamu mudah-mudahan kamu bertakwa”. (Al-Baqarah: 183)

Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang agung, yang membawa kelebihan-kelebihan yang banyak, kurniaan dari Allah yang luas serta pahala dan ganjaran yang diebrikan kepada orang yang merebutnya. Rasulullah saw menyebut tentang kelebihan ramadhan semasa di penghujung Sya’ban dan ketibaan Ramadhan.

Daripada Salman r.a, Rasulullah telah berkhutbah di hari terakhir bulan Sya’ban dengan sabdanya (bermaksud):  “Wahai manusia, akan datang kepada kamu satu bulan yang agung, bulan yang berkat. Bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah jadikan berpuasa pada siangnya satu kefarduan, menghidupkan malamnya dengan qiyamullail sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan Allah pada bulan ini dengan melakukan amalan sunat, pahalanya seperti beliau melakukan amalan yang wajib pada bulan yang lain. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan Allah pada bulan ini dengan melakukan satu amalan wajib, pahalanya seperti beliau melakukan tujuh puluh amalan yang wajib pada bulan yang lain. Ramadhan juga bulan kesabaran. Sabar balasannya ialah syurga. Ramadhan bulan kebersamaan dan bulan yang ditambah rezeki orang mukmin. Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa akan memperoleh keampunan daripada dosanya dan dibebaskan daripada api neraka, ia juga memperolehi pahala sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu. Para sahabat bertanya, ‘Tidak semua orang daripada kalangan kami yang mampu untuk menjamu orang berbuka puasa. Apa yang perlu kami lakukan?’ Rasulullah menjawab, ‘Allah memberi ganjaran seumpama ini bagi sesiapa yang memberi makanan untuk berbuka puasa walaupun hanya sebiji kurma, seteguk air atau seteguk susu. Ramadhan ialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan penghujungnya pembebasan dari api neraka”. (Ibn Khuzaimah, Baihaqi dan Ibn Ady)

Di antara ibadah yang Allah khususkan pada bulan Ramadhan:

1. Puasa, dengan menahan diri daripada berbuka atau makan yang sedia dimaklumi dan menegah anggota daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah. Kalau tidak melakukan perkara tersebut bagaimana hendak dikira bermuraqabah kepada Allah sedangkan tidak gerun kepadaNya, dan bermuraqabah kepada Allah tidak mampu menghalangnya daripada perkara yang tidak diredai oleh Allah. Berapa ramai orang yang berpuasa tidak memperolehi apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah saw telah bersabda (bermaksud): “Orang yang tidak mampu menghalang daripada berkata dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak memberikan ganjaran kepadanya kerana tidak makan dan minum (berpuasa)”.(Bukhari dan Tirmizi)

Puasa datang untuk membuatkan manusia merasai bahawa dia wajib mengutamakan Allah mengatasai keperluan dan keinginan dirinya sendiri. Dia juga wajib memenuhi tuntutan Allah melebihi daripada tuntutan dirinya sendiri. Daripada Abu Hurairah r.a,  Rasulullah saw telah bersabda (bermaksud): “Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah tentulah diampun dosa-dosanya yang terdahulu”. (Bukhari)

2. Al-Quran turun pada bulan Ramadhan: Allah telah mengkhususkan bulan yang agung ini dengan penurunan al-Quran. Firman Allah SWT (bermaksud): “Sesungguhnya Kami telah turunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadr”. (Al-Qadr: 1)

Al-Quran diturunkan oleh Allah untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Firman Allah: “Alif, Lam, Ra. Inilah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) agar engkau mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya terang-benderang dengan izin Tuhan, iaitu menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji”. (Ibrahim: 1)

Al-Quran juga kitab yang membawa hidayah kepada manusia keseluruhannya. Firman Allah SWT (bermaksud): “Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara yang benar dan batil”. (Al-baqarah: 185) 

3. Qiamullail: Di bulan Ramadhan terdapat amalam qiam pada malamnya. Allah telah menetapkan sesiapa yang bersungguh-sungguh mendirikannya akan diampunkan segala dosa-dosa yang telah lalu. Daripada Abu Hurairah r.a, bahwa Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan qiam pada malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”. (Bukhari dan Muslim)

4. Malam Lailatul Qadar: Pada bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah: “Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan”. (Al-Qadr: 3)

Orang yang bangun pada malam itu dihapuskan segala kesalahan dan diampunkan dosanya. Sabda nabi saw: “Sesiapa yang bangun pada malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”.

5. IktikafBeriktikaf pada sepuluh yang akhir di bulan Ramadhan adalah termasuk petunjuk Rasulullah saw. Daripada Abdullah bin Umar r.a berkata: “Rasulullah saw beriktikaf pada sepuluh yang akhir pada bulan Ramadhan”. (Bukhari dan Muslim)

Puasa merupakan bekalan kita untuk menghadapi musuh

Melalui ibadah puasa mampu menguatkan kemahuan dan mendidik kesabaran. Ini kerana orang yang berpuasa sanggup berlapar padahal di hadapannya keinginan untuk makan, menahan dahaga padahal di tangannya terdapat air sejuk dan menegah daripada berseronok padahal di sampingnya adalah isterinya. Tiada yang memerhatikannya pada saat itu melainkan Tuhannya dan tiada kuasa yang menguasai ketika itu melainkan emosinya dan tidak akan terjadi melainkan dengan kemahuan yang teguh dan penuh sedar kerana Ramadhan mengajar erti sabar. Oleh sebab itu Ramadhan dinamakan bulan kesabaran. Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda (bermaksud): “Segala perkara ada zakat. Zakat jasad ialah puasa”. Sabda nabi lagi: “Puasa separuh kesabaran”. (Ibn Majah dan Baihaqi)

Sesungguhnya Islam bukanlah agama yang menyerah dan berasa malas, bahkan Islam adalah agama jihad dan perjuangan yang berterusan. Justeru bekalan yang pertama untuk berjihad ialah sabar dan kemahuan yang kuat. Sekiranya orang yang tidak mampu berjihad melawan nafsunya jauh sekali mampu melawan musuhnya. Orang yang tidak mampu memenangi ke atas nafsu dan syahwatnya jauh sekali mampu memenangi perjunagan melawan musuhnya. Orang yang tidak mampu bersabar menahan lapar dalam sehari jauh sekali mampu bersabar menghadapi perpecahan penduduk demi matlamat yang besar.

Ibadah puasa terkandung makna sabar. Melemahkan penguasaan nafsu merupakan langkah Islam yang paling nyata dalam mempersiapkan mukmin yang sabar yang tangkas dan mujahid, yang bersedia menanggung kehausan, kelaparan dan kepayahan, yang sanggup menempuh keperitan, kesukaran dan tekanan hidup selagi mana masih di jalan Allah.

Wahai umat Islam,

Sesungguhnya Ramadhan termasuk dalam musim-musim ibadah yang besar dan persembahan yang menarik untuk perniagaan akhirat. Ibadah-ibadah ini menjadi indah sesuai dengan waktu-waktunya, yang dihiasi masa-masanya dan yang manis pada siang dan malamnya. Ibadah-ibadah begitu indah pada setiap masa namun pada bulan ini tentu lebih indah kerana ganjarannya di sisi Allah lebih besar dan banyak. Oleh sebab itu orang Islam mestilah mengambil peluang dengan merebut keagungan ini dan menyambut ketibaannya dengan taubat nasuha, niat yang tulus untuk melakukan ketaatan, kemahuan yang kuat dan cita-cita yang tinggi untuk meneruskan ibadah sehingga ke penghujung Ramadhan supaya tertulis sebagai golongan yang dilepaskan daripada api neraka. Juga memperbanyakkan empat amalan yang digalakkan oleh Rasulullah saw, seperti sabda nabi (bermaksud):“Perbanyakkan di bulan Ramadhan dengan empat amalan: Dua amalan yang diredai Allah kepada kamu dan dua lagi amalan yang sangat kamu perlukan. Amalan yang diredai Allah ke atas kamu ialah: Mengucapkan syahadah Tiada Tuhan melainkan Allah dan kamu sentiasa beristighfar. Manakala amalan yang sangat kamu perlukan ialah: Memohon kepada Allah dikurniakan syurga dan berlindung daripada siksaan api neraka”. 
Justeru anda hendaklah memperbanyakkan tilawah al-Quran kerana Ramadhan adalah bulan al-Quran. Pada bulan ini al-Quran telah diturunkan dan Jibril mengajar dan membacakannya kepada Rasulullah saw sehinggakan pada tahun akhir kewafatan Rasulullah saw mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali di hadapan Jibril. 

Orang Islam juga hendaklah memperbanyak sedekah, meringankan bebanan orang fakir dan miskin dan meraikan mereka dengan kebaikan dan pemberian. Inilah bulan yang meninggikan nilai ruhiyyah ke atas nilai kebendaan dan memandang kecil kehidupan dunia berbanding akhirat.

Allah menggandakan pahala orang yang bersedekah dan memberikan ganjaran yang besar kepada orang yang memenuhi keperluan orang miskin dan melembutkan hati mereka untuk membantu anak-anak yatim dan ibu tunggal. Sifat pemurah dan dermawan mereka kerana mengambil teladan daripada Rasulullah saw yang mempamerkan sifat dermawan dan mulia. Bahkan baginda adalah manusia yang paling baik di bulan Ramadhan ketika Jibril membacakan al-Quran.  Daripada Ibn Abbas r.a, berkata: “Nabi saw manusia yang paling dermawan dalam perkara kebaikan dan manusia yang paling dermawan dalam bulan Ramadhan ketika Jibril datang menemuinya. Jibril menemui baginda setiap malam di bulan Ramadhan sehingga penghujungnya dan Nabi saw membacakan al-Quran di hadapan Jibril. Apabila Jibril datang menemui nabi, baginda menjadi manusia lebih dermawan daripada angin yang bertiup”. (Bukhari dan Muslim)

Umat Islam hendaklah mengeratkan silaturrahim, saling sayang-menyayangi, saling ziarah-menziarahi dan kasih-mengasihi dengan jiran tetangga dan kaum kerabat, berbaik dengan semua orang mukmin dan menjauhi perpecahan, menamatkan persengketaan dan membersihkan hati dari penipuan dan hasad dengki. Firman Allah: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu yang berselisih dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat”. (Al-Hujurat: 10)

 Firman Allah SWT (bermaksud)“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: Ya Tauhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sungguh, Engkau maha Penyantun lagi Maha Penyayang”. (Al-Hasyr: 10)

Kata penyair:
“Ramadhan datang sebagai ladang …untuk membersihkan hati daripada keburukan. Oleh itu tunaikanlah hak-haknya melalui perkataan dan perbuatan...ambillah sebagai bekal kepada hari kesudahan. Justeru orang yang menanam benih sedang dia tidak menyiramnya…tentulah semasa menuai hasil nanti akan menyesal”.

Tahniah kepada dunia Islam

Kami mengucapkan tahniah kepada dunia Islam keseluruhannya dengan ketibaan bulan yang berkat ini. Kami memohon kepada Allah supaya diawal bulan ini penuh kebaikan, keberkatan dan kesatuan kepada umat Islam, kemenangan dan pertolongan Allah kepada mereka. Begitu juga kami berdoa kepada Allah supaya mengikat hati saudara-saudara kami para mujahidin di setiap tempat, membebaskan saudara kami yang menjadi tawanan dan memberi dunia yang merdeka kekuatan untuk berusaha bagi melepaskan kepungan ke atas rakyat Palestin sehingga mereka diberikan kebebasan dan memperolehi segala keperluan untuk kehidupan mereka pada bulan yang berkat ini.

Adapun saudara-saudara kami yang berada di dalam penjara-penjara penjajah dan penzalim, kami ucapkan tahniah kepada mereka dan keluarga mereka dengan kedatangan bulan kesabaran dan kami katakan kepada mereka: ‘Sabarlah kerana malam untuk orang-orang yang zalim akan berlalu dan cahaya fajar Islam akan datang. Cahayanya terang di ufuk. Justeru hanya perlukan kesabaran seketika sahaja’.

Firman Allah SWT (bermaksud): “Dan pada hari kemenangan bangsa Rom itu bergembiralah orang-orang beriman. Kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendaki. Dia Maha Perkasa lagi Maha Penyayang”. (Ar-Rum: 4-5)  
  
Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=69231&SecID=363
READ MORE - Kelebihan Bulan Ramadan
Related Posts with Thumbnails