Khamis, 29 April 2010

Konsisten melakukan Amalan kebaikan


Saudara,
Islam sebagai agama yang cintakan kebaikan dan menekankan umatnya supaya sentiasa melakukan amal kebaikan sepanjang hidupnya. Hal ini sangat jelas dalam sebuah hadis Rasul saw daripada Abu Hurairah r.a:

ان خَيِرَ الْعَمَلِ أدْوَمُهُ وَاِنْ قَل
"Sesungguhnya sebaik-baik amalan adalah amalan yang berterusan sekalipun sedikit". (Baihaqi)

Sebagai seorang muslim kita berkewajipan melaksanakan ibadah kepada Allah hingga ajal datang menjemput kita. Oleh itu kita wajib menguatkan hati dan niat kita, menyiapkan fizikal dan tenaga kita serta mengurus masa dan aktiviti kita agar dapat melaksanakan berbagai amal kebaikan secara berterusan sesuai dengan tuntutan agama. Namun kerana kesibukan hidup dan pelbagai cabaran serta dugaan yang dihadapi kebanyakan muslim gagal memenuhi tuntutan berterusan dalam melakukan kebaikan.

Mengapakan amalan yang berterusan menjadi amal yang terbaik?
Amalan yang berterusan amat dicintai Allah dan RasulNya. Oleh itu seorang muslim yang istiqamah dalam kebaikan akan sentiasa dikasihi Allah sepanjang hidupnya walaupun hanya sedikit amalnya.

Bagaimanakah cara supaya muslim dapat kekal dalam melakukan ibadah?
1. Mengikhlaskan niat. Ia beramal semata-mata kerana Allah dan mengharapkan redhaNya.
2. Tidak berlebih-lebihan dalam beramal.
3. Bergaul dengan orang-orang salih. Sahabat yang sali akan sentiasa menegur atau memberi nasihat apabila ia lalai.
4. Menjauhkan diri daripada sebarang maksiat. Perbuatan maksiat menurut Ibn Qayyim akan melemahkan semangat untuk berbuat kebaikan.

Bagaimana menjadikan amalan yang sedikit menghasilkan pahala yang besar?
1. Melakukan ibadah secara berterusan. Hadis di atas.
2. Melakukan ibadah dengan penuh keyakinan dan harapan kepada Allah. Iaitu yakin dengan janji Allah dan mengharapkan ganjaran yang besar di sisi Allah.
3. Amalan yang kecil diiringi dengan keimanan yang kukuh.Menurut Umar "Seandainya iman Abu Bakar ditimbang dengan iman seluruh penduduk bumi, pasti iman Abu Bakar lebih berat daripada iman mereka".(Baihaqi)
4. Melakukan amalan yang sedikit ketika berkeadaan sukar dan serba kekurangan.
"Sedekah yang paling utama ialah sedekah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang memiliki sedikit". (Abu Daud)

Hadis ini nabi menyeru umatnya supaya tidak memandang rendah amal yang sedikitnya, kerana amal yang sedikit yang konsisten lebih baik dan utama daripada amalan yang banyak tetapi hanya sekali atau kadang-kadang dikerjakan.
READ MORE - Konsisten melakukan Amalan kebaikan

Isnin, 29 Mac 2010

Harta yang baik untuk lelaki yang baik


Segala puji bagi Allah kerana masih memberi kelapangan kepada saya untuk terus menulis dan berkongsi sedikit ilmu yang mudah-mudahan baik untuk dan semua orang.

Rasul saw telah meninggalkan satu mesej yang sangat berharga kepada umatnya sehingga hari Kiamat berkenaan pentingnya harta yang baik perlu dimiliki oleh orang yang baik. Sabda nabi saw dari Nu'man bin Basyir:

نِعْمَ المالُ الصَالح لِلرجُلِ الصالح

"Sebaik-baik harta yang salih (baik) adalah untuk lelaki yang salih (baik)". Riwayat Ibn Hibban, Ahmad dan Bukhari.

Rasul saw mengingatkan umatnya bahawa harta boleh memberi manusia nikmat dan boleh menjadi bencana bergantung kepada niat, cara mendapatkannya dan cara membelanjakannya. Apabila niatnya baik, harta diperolehi dengan cara yang baik dan dibelanjakan ke tempat yang baik sesuai dengan ajaran agama, maka dia akan memperolehi nikmat dan pahala yang besar di dunia dan akhirat. Hal ini boleh berlaku sekiranya harta itu dimiliki dan diurus oleh peribadi yang baik dan salih.

Justeru seorang yang fasik dan jahat sudah pasti akan mengurus harta dengan cara yang salah. Harta akan diperolehi dengan cara yang haram dan dibelanjakan ke tempat yang haram. Mereka akan mengunakannya ke arah maksiat, menyuburkan maksiat atau menghancurkan Islam.

Oleh itu rasul melihat pentingnya orang yang beriman memiliki harta kekayaan dan mengecapi kejayaan kebendaan di dunia supaya kekayaan itu digunakan untuk kemuliaan agama tercinta dan mengharapkan keredhaan Allah. Namun kita lihat hari ini kekayaan banyak yang dimiliki oleh orang kafir dan fasik seperti Bill Gates, Warren Buffet dsb. Mereka memiliki syarikat dan perusahaan yang maju dan besar..

Apakah maksud harta salih atau baik itu?

Iaitu harta yang berkat, harta yang digunakan untuk tujuan ibadah dan ketaatan kepada Allah,harta digunakan untuk kebaikan dan harta mendatangkan manfaat kepada pemiliknya di dunia dan akhirat serta harta yang memberi manfaat kepada umat Islam. Sungguhpun harta itu sedikit akan cukup memenuhi keperluan pemiliknya.

Harta yang baik adalah harta yang digunakan untuk makan agar mampu untuk beribadah, yang digunakan untuk membeli pakaian bagi menutup aurat dan memenuhi syarat beibadah, harta yang digunakan untuk memberi sedekah kepada orang lain bagi meringankan beban mereka. Inilah harta yang baik yang memberi manfaat duniawi dan mengundang pahala besar dan berlipat ganda di akhirat nanti. Namun sebaliknya harta yang buruk digunakan ke arah maksiat seperti berjudi, membeli pakaian yang seksi, membeli arak, pergi ke tempat-tempat maksiat dan sebagainya. Harta ini akan mendatagkan mudarat duniawi dan mengundang dosa yang besar dan kehinaan di akhirat nanti.

Ke mana peribadi yang baik akan menyalurkan harta kekayaannya?

Peribadi yang salih akan menggunakan harta kekayan mereka ke arah:
1. Membersihkan jiwa dan menyucikan hati dengan mengeluarkan zakat dan sedekah dari hartanya. Peribadi yang salih sudah pasti bersifat dermawan dan tidak bakhil.
2. Memenuhi keperluannya dan menjaga kehormatannya.
3. Menjaga keutuhan dan kebahagiaan keluarga dan kerabat.
4. Menyelamatkan umat Islam dari kekufuran, bencana dan kesulitan.
5. Menegakkan agama dan menumbangkan kekufuran.

Oleh kerana itu peribadi yang salih perlu mengelakkan perkara berikut dalam menguruskan harta mereka:

1. Semakin lupa dan lalai kepada Allah. Masanya disibukkan dengan mengumpul dan menguruskan harta.
2. Menjadi sombong dan bangga diri dengan kekayaan yang dimiliki.
3. Tidak mempedulikan halal dan haram kerana kerakusan terhadap kekayaan.
4. Menjadi kedekut dan bakhil dari membayar zakat atau bersedekah.
5. Menggunakan harta untuk menindas atau berbuat jahat ke atas orang lain.
6. Menjadikan harta untuk menyebarkan maksiat dan menghalang manusia dari jalan Allah.

Justeru, sebagai orang beriman kita hendaklah memperolehi harta dengan cara yang halal dan seterusnya kita belanjakan ke jalan yang diberkati Allah dan meninggikan agama Allah. Usahakanlah dengan gigih untuk menjadi orang berjaya dengan nikmat dunia samaada sebagai orang yang menjawat jawatan yang tinggi atau menjadi usahawan yang berjaya tetapi hartanya benar-benar memberi kebaikan untuk diri, keluarga, masyarakat dan agama. Mudah-mudahan harta yang dimiliki berkat dan seterusnya bertambah murah rezeki...
READ MORE - Harta yang baik untuk lelaki yang baik

Isnin, 8 Mac 2010

Merancang umur kedua yang lebih baik

Saudara/ri,
Terima kasih kerana masih sudi melayani blog kerdil ini. Dikesempatan ini saya akan membicarakan sebuah hadis yang bukan asing lagi bagi kita. Iaitu hadis yang menyatakan pentingnya kita merancang umur kedua yang lebih baik agar kita beroleh kebahagiaan di akhirat nanti.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi saw bersabda;"Apabila mati seorang anak Adam maka terputuslah (pahala) amal perbuatannya kecuali dari TIGA perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang salih yang mendoakannya". (HR Imam Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini Rasulullah menjelaskan kepada kita tentang tiga amalan yang pahalanya akan terus mengalir sekalipun pelakunya telah meninggal dunia; iaitu sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak salih yang sentiasa mendoakan ibubapanya.

Sehubungan itu, kita hendaklah merancang umur kedua iaitu umur selepas kita meninggalkan dunia yang lebih baik. Kita merancang bagaimana pada umur kedua nanti kita terus memperolehi pahala sungguhpun kita telah meninggalkan dunia ini.

Sebenarnya kalau kita perhatikan ternyata umur kedua jauh lebih panjang dari umur pertama. Umur kita di dunia mungkin mencapai 80 tahun tetapi umur kedua sehingga hari Kiamat. Tambahan pula kita tidak lagi berpeluang untuk mengubah nasib dan keadaan selepas kematian. Segala kesalahan dan kejahatan semasa hidup tidak dapat diperbaiki. Oleh itu semasa hidup kita berpeluang memperbaikinya ke arah yang lebih baik.

Bahkan umur kedua adalah buah dan akibat dari umur pertama. Segala apa yang dibuat semasa hayat akan dituai semasa umur kedua. Seandainya semasa hayat kita berbuat kebaikan pastilah kita menikmati buahnya dengan nikmat dari Allah, tetapi seandainya kita banyak berbuat kejahatan pastilah kita akan menerima akibatnya dengan menanggung siksaan pedih dari Allah.

Oleh itu kita hendaklah mengambil kesempatan di dunia ini dengan memperbanyakkan sedekah jariyah seperti bersedekah kepada pembinaan atau pengurusan masjid, surau, madrasah, rumah anak yatim, tanah wakaf, menaja pembelajaran pelajar jurusan agama atau menginfak kepada perjuangan rakyat Palestin.

Kita juga mencurahkan ilmu agama atau ilmu yang berguna kepada umat Islam supaya ilmu tersebut dimanfaatkan samaada semasa kita masih hidup atau telah meninggal dunia. Inilah yang telah dilakukan oleh para ulama terdahulu. Mereka berdakwah, mengajar dan menulis buku. Ilmu mereka terus digunakan sehingga hari ini.

Seterusnya kita mendidik dan melatih anak kita dengan didikan agama dan akahlak mulia. Mereka akan menjadi anak yang soleh yang akan berbakti, berbuat baik dan mendoakan ibubapanya samaada semas masih hidup atau sesudah ketiadaannya.
Semoga petunjuk dari hadis ini dapat dihayati dalam hidup kita dan dijadikan perangsang untuk kita terus melaksanakan tiga saranan di atas.
READ MORE - Merancang umur kedua yang lebih baik

Isnin, 22 Februari 2010

Kebahagaian adalah anugerah Allah

Setiap insan inginkan kebahagian sebenar di dunia dan akhirat. Tetapi kebahagian yang boleh diperolehi melalui anugerah Allah ke atas hambaNya yang terpilih. Iaitu hamba yang beriman dan mentaati seluruh perintah Allah tanpa mengabaikan dan meninggalkannya.
READ MORE - Kebahagaian adalah anugerah Allah

Sabtu, 20 Februari 2010

Menghapuskan daki-daki dosa

Seorang muslim yang inginkan keredhaan Allah sewajarnya segera menghilangkan daki-daki dosa pada dirinya sebagaimana yang disarankan oleh baginda ar-Rasul SAW yang bermaksud: Dari Abu Zar dan Muaz bin Jabal:
"Bertakwalah kamu kepada Allah di mana jua kamu berada. Iringilah keburukan dengan kebaikan nescaya ia akan menghapuskannya. Dan pergaulilah orang-orang dengan berakhlak yang baik." (HR Tirmizi)

Dalam hal ini kita diminta supaya bertakwa kepada Allah di manapun kita berada dengan sentiasa mentaati perintah-perintahNya dan menjauhi larangan-laranganNya. Takwa adalah ibu segala kebaikan dan takwa juga jalan yang membawa kita ke syurga. Tanpa takwa sudah pasti manusia akan hanyut dengan segala kerosakan dan kejahatan.

Ciri utama orang yang bertakwa ialah bersegera menghapuskan dosanya dengan tidak menangguh-nangguh atau mengulangi semula kesalahan itu dan segera memohon ampun serta beristighfar kepada Allah. Malah melalui amalan salih yang dilakukan turut menghapuskan dosanya. Ibadah wajib dan sunat akan menghilangkan dosa-dosanya sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan jahat. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat." (Hud: 14)

Disamping itu ar-rasul menyatakan bahawa seseorang yang mengamalkan akhlak mulia juga akan menghapuskan dosanya. Iaitu menjaga adab pergaulan dan hubungan baik sesama manusia seperti sentiasa berkasih sayang, tolong-menolong dan menjauhi sikap sombong, hasad dengki atau mementingkan diri sendiri.

Dosa-dosa yang terus dilakukan akan menyebabkan hatinya bertambah kotor dan hitam. Bahkan lama-kelamaan akan bertambah hitam dan menutup pintu hatinya. Inilah yang amat ditakuti bagi kita kerana hidayah Allah semakin jauh sebaliknya kemurkaan Allah akan bertambah. Begitu juga kejahatan dan dosa yang diulang-ulang akan menyebabkan seseorang menjadi sebati dengan kejahatan tersebut sehingga sukar untuk diubah. Adalah mudah untuk mengubahnya ketika sesuatu kejahatan baru pertama kali dilakukan. Seterusnya kita bimbang seseorang akan mati ketika tenggelam dengan noda dan dosa. Maka matilah seseorang itu dengan kemaksiatan yang masih diamalkan dan mati sebagai orang yang tidak beriman...

Justeru marilah kita segera beristighfar dan mohon ampun kepada Allah di kala hayat masih di kandung badan. Begitu juga pertingkatkan amal-amal kebaikan. Mudah-mudahn Allah ampuni dosa-dosa kita. Allah pelihara kita dari terus terjebak dalam kemaksiatan dan kemungkaran. Sebaliknya Allah kurniakan kita hidayah dan taufiknya untuk memandu kita ke arah keredhaanNya. Semoga kita termasuk di kalangan hambanya yang salihin...

Amin...
READ MORE - Menghapuskan daki-daki dosa

Menjaga kesalihan hati


Kepentingan hati telah dinyatakan oleh baginda ar-rasul SAW dalam sebuah hadith yang bermaksud:
"Sesungguhnya pada diri anak Adam terdapat segumpal daging; apabila segumpal daging itu baik maka menjadi baiklah tubuhnya. Apabila ia rosak maka rosaklah pula seluruh tubuhnya. Ketahuilah, sesungguhnya segumpal daging itu adalah hati." (Muttafaqun Alaih)

Ini menunjukkan bahawa hati adalah kunci segala kebaikan dan keburukan kepada diri seseorang. Kebaikan dan kejahatan lahir daripada hati. Hati yang bersih dan diisi dengan iman akan melahirkan amalan salih dan perkara kebaikan. Sebaliknya hati yang kotor dan hitam akibat daripada maksiat dan kekufuran akan melahirkan perbuatan jahat dan menambah kemurkaan Allah.

Hati dalam bahasa Arab disebut al-Qalbu bererti bolak-balik atau boleh berubah-ubah. Oleh sebab itu hati manusia kadang-kadang boleh berubah ke arah baik dan ke arah jahat. Hati berubah bergantung kepada sebab-sebab tertentu.

Justeru, bagi memastikan hati manusia sentiasa bersih dan baik yang mengajak kepada ketakwaan maka sewajarnyalah kita mendidik hati dengan keimanan dan mendekatkan diri kepada Allah. Selain kita menyempurnakan perkara yang fardu wajarlah kita menambah dengan amalan sunat yang lain seperti solat-solat sunat, puasa sunat, tilawah al-Quran, zikir, bersedekah dan sebagainya. Selain itu kita dituntut menjauhi segala perkara yang mengotorkan hati seperti perbutan-perbuatan yang diharamkan dan tidak melaksanakan perintah Allah. Terlibat perkara syirik adalah sebesar-besar amalan yang menggelapkan hati. Begitu juga terjerumus dalam lembah maksiat dan kemungkiran akan menambah lagi kekotoran hati.

Semoga kita semua terus dipelihara hati oleh Allah dan dikuatkan untuk terus istiqamah di jalan yang diredhai Allah hendaknya.

Amin...
READ MORE - Menjaga kesalihan hati
Related Posts with Thumbnails