Khamis, 4 Ogos 2011

Kelebihan Bulan Ramadan

Oleh: Syeikh Hijazi Ibrahim Tharya

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga dan para sahabatnya, serta orang-orang yang mengikutinya dengan baik sehingga hari kiamat. Selepasnya:

Firman Allah SWT (bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana orang-orang terdahulu sebelum  kamu mudah-mudahan kamu bertakwa”. (Al-Baqarah: 183)

Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang agung, yang membawa kelebihan-kelebihan yang banyak, kurniaan dari Allah yang luas serta pahala dan ganjaran yang diebrikan kepada orang yang merebutnya. Rasulullah saw menyebut tentang kelebihan ramadhan semasa di penghujung Sya’ban dan ketibaan Ramadhan.

Daripada Salman r.a, Rasulullah telah berkhutbah di hari terakhir bulan Sya’ban dengan sabdanya (bermaksud):  “Wahai manusia, akan datang kepada kamu satu bulan yang agung, bulan yang berkat. Bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah jadikan berpuasa pada siangnya satu kefarduan, menghidupkan malamnya dengan qiyamullail sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan Allah pada bulan ini dengan melakukan amalan sunat, pahalanya seperti beliau melakukan amalan yang wajib pada bulan yang lain. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan Allah pada bulan ini dengan melakukan satu amalan wajib, pahalanya seperti beliau melakukan tujuh puluh amalan yang wajib pada bulan yang lain. Ramadhan juga bulan kesabaran. Sabar balasannya ialah syurga. Ramadhan bulan kebersamaan dan bulan yang ditambah rezeki orang mukmin. Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa akan memperoleh keampunan daripada dosanya dan dibebaskan daripada api neraka, ia juga memperolehi pahala sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu. Para sahabat bertanya, ‘Tidak semua orang daripada kalangan kami yang mampu untuk menjamu orang berbuka puasa. Apa yang perlu kami lakukan?’ Rasulullah menjawab, ‘Allah memberi ganjaran seumpama ini bagi sesiapa yang memberi makanan untuk berbuka puasa walaupun hanya sebiji kurma, seteguk air atau seteguk susu. Ramadhan ialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan penghujungnya pembebasan dari api neraka”. (Ibn Khuzaimah, Baihaqi dan Ibn Ady)

Di antara ibadah yang Allah khususkan pada bulan Ramadhan:

1. Puasa, dengan menahan diri daripada berbuka atau makan yang sedia dimaklumi dan menegah anggota daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah. Kalau tidak melakukan perkara tersebut bagaimana hendak dikira bermuraqabah kepada Allah sedangkan tidak gerun kepadaNya, dan bermuraqabah kepada Allah tidak mampu menghalangnya daripada perkara yang tidak diredai oleh Allah. Berapa ramai orang yang berpuasa tidak memperolehi apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah saw telah bersabda (bermaksud): “Orang yang tidak mampu menghalang daripada berkata dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak memberikan ganjaran kepadanya kerana tidak makan dan minum (berpuasa)”.(Bukhari dan Tirmizi)

Puasa datang untuk membuatkan manusia merasai bahawa dia wajib mengutamakan Allah mengatasai keperluan dan keinginan dirinya sendiri. Dia juga wajib memenuhi tuntutan Allah melebihi daripada tuntutan dirinya sendiri. Daripada Abu Hurairah r.a,  Rasulullah saw telah bersabda (bermaksud): “Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah tentulah diampun dosa-dosanya yang terdahulu”. (Bukhari)

2. Al-Quran turun pada bulan Ramadhan: Allah telah mengkhususkan bulan yang agung ini dengan penurunan al-Quran. Firman Allah SWT (bermaksud): “Sesungguhnya Kami telah turunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadr”. (Al-Qadr: 1)

Al-Quran diturunkan oleh Allah untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Firman Allah: “Alif, Lam, Ra. Inilah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) agar engkau mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya terang-benderang dengan izin Tuhan, iaitu menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji”. (Ibrahim: 1)

Al-Quran juga kitab yang membawa hidayah kepada manusia keseluruhannya. Firman Allah SWT (bermaksud): “Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara yang benar dan batil”. (Al-baqarah: 185) 

3. Qiamullail: Di bulan Ramadhan terdapat amalam qiam pada malamnya. Allah telah menetapkan sesiapa yang bersungguh-sungguh mendirikannya akan diampunkan segala dosa-dosa yang telah lalu. Daripada Abu Hurairah r.a, bahwa Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan qiam pada malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”. (Bukhari dan Muslim)

4. Malam Lailatul Qadar: Pada bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah: “Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan”. (Al-Qadr: 3)

Orang yang bangun pada malam itu dihapuskan segala kesalahan dan diampunkan dosanya. Sabda nabi saw: “Sesiapa yang bangun pada malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”.

5. Iktikaf: Beriktikaf pada sepuluh yang akhir di bulan Ramadhan adalah termasuk petunjuk Rasulullah saw. Daripada Abdullah bin Umar r.a berkata: “Rasulullah saw beriktikaf pada sepuluh yang akhir pada bulan Ramadhan”. (Bukhari dan Muslim)

Puasa merupakan bekalan kita untuk menghadapi musuh

Melalui ibadah puasa mampu menguatkan kemahuan dan mendidik kesabaran. Ini kerana orang yang berpuasa sanggup berlapar padahal di hadapannya keinginan untuk makan, menahan dahaga padahal di tangannya terdapat air sejuk dan menegah daripada berseronok padahal di sampingnya adalah isterinya. Tiada yang memerhatikannya pada saat itu melainkan Tuhannya dan tiada kuasa yang menguasai ketika itu melainkan emosinya dan tidak akan terjadi melainkan dengan kemahuan yang teguh dan penuh sedar kerana Ramadhan mengajar erti sabar. Oleh sebab itu Ramadhan dinamakan bulan kesabaran. Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda (bermaksud): “Segala perkara ada zakat. Zakat jasad ialah puasa”. Sabda nabi lagi: “Puasa separuh kesabaran”. (Ibn Majah dan Baihaqi)

Sesungguhnya Islam bukanlah agama yang menyerah dan berasa malas, bahkan Islam adalah agama jihad dan perjuangan yang berterusan. Justeru bekalan yang pertama untuk berjihad ialah sabar dan kemahuan yang kuat. Sekiranya orang yang tidak mampu berjihad melawan nafsunya jauh sekali mampu melawan musuhnya. Orang yang tidak mampu memenangi ke atas nafsu dan syahwatnya jauh sekali mampu memenangi perjunagan melawan musuhnya. Orang yang tidak mampu bersabar menahan lapar dalam sehari jauh sekali mampu bersabar menghadapi perpecahan penduduk demi matlamat yang besar.

Ibadah puasa terkandung makna sabar. Melemahkan penguasaan nafsu merupakan langkah Islam yang paling nyata dalam mempersiapkan mukmin yang sabar yang tangkas dan mujahid, yang bersedia menanggung kehausan, kelaparan dan kepayahan, yang sanggup menempuh keperitan, kesukaran dan tekanan hidup selagi mana masih di jalan Allah.

Wahai umat Islam,

Sesungguhnya Ramadhan termasuk dalam musim-musim ibadah yang besar dan persembahan yang menarik untuk perniagaan akhirat. Ibadah-ibadah ini menjadi indah sesuai dengan waktu-waktunya, yang dihiasi masa-masanya dan yang manis pada siang dan malamnya. Ibadah-ibadah begitu indah pada setiap masa namun pada bulan ini tentu lebih indah kerana ganjarannya di sisi Allah lebih besar dan banyak. Oleh sebab itu orang Islam mestilah mengambil peluang dengan merebut keagungan ini dan menyambut ketibaannya dengan taubat nasuha, niat yang tulus untuk melakukan ketaatan, kemahuan yang kuat dan cita-cita yang tinggi untuk meneruskan ibadah sehingga ke penghujung Ramadhan supaya tertulis sebagai golongan yang dilepaskan daripada api neraka. Juga memperbanyakkan empat amalan yang digalakkan oleh Rasulullah saw, seperti sabda nabi (bermaksud):“Perbanyakkan di bulan Ramadhan dengan empat amalan: Dua amalan yang diredai Allah kepada kamu dan dua lagi amalan yang sangat kamu perlukan. Amalan yang diredai Allah ke atas kamu ialah: Mengucapkan syahadah Tiada Tuhan melainkan Allah dan kamu sentiasa beristighfar. Manakala amalan yang sangat kamu perlukan ialah: Memohon kepada Allah dikurniakan syurga dan berlindung daripada siksaan api neraka”. 
Justeru anda hendaklah memperbanyakkan tilawah al-Quran kerana Ramadhan adalah bulan al-Quran. Pada bulan ini al-Quran telah diturunkan dan Jibril mengajar dan membacakannya kepada Rasulullah saw sehinggakan pada tahun akhir kewafatan Rasulullah saw mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali di hadapan Jibril. 

Orang Islam juga hendaklah memperbanyak sedekah, meringankan bebanan orang fakir dan miskin dan meraikan mereka dengan kebaikan dan pemberian. Inilah bulan yang meninggikan nilai ruhiyyah ke atas nilai kebendaan dan memandang kecil kehidupan dunia berbanding akhirat.

Allah menggandakan pahala orang yang bersedekah dan memberikan ganjaran yang besar kepada orang yang memenuhi keperluan orang miskin dan melembutkan hati mereka untuk membantu anak-anak yatim dan ibu tunggal. Sifat pemurah dan dermawan mereka kerana mengambil teladan daripada Rasulullah saw yang mempamerkan sifat dermawan dan mulia. Bahkan baginda adalah manusia yang paling baik di bulan Ramadhan ketika Jibril membacakan al-Quran.  Daripada Ibn Abbas r.a, berkata: “Nabi saw manusia yang paling dermawan dalam perkara kebaikan dan manusia yang paling dermawan dalam bulan Ramadhan ketika Jibril datang menemuinya. Jibril menemui baginda setiap malam di bulan Ramadhan sehingga penghujungnya dan Nabi saw membacakan al-Quran di hadapan Jibril. Apabila Jibril datang menemui nabi, baginda menjadi manusia lebih dermawan daripada angin yang bertiup”. (Bukhari dan Muslim)

Umat Islam hendaklah mengeratkan silaturrahim, saling sayang-menyayangi, saling ziarah-menziarahi dan kasih-mengasihi dengan jiran tetangga dan kaum kerabat, berbaik dengan semua orang mukmin dan menjauhi perpecahan, menamatkan persengketaan dan membersihkan hati dari penipuan dan hasad dengki. Firman Allah: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu yang berselisih dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat”. (Al-Hujurat: 10)

 Firman Allah SWT (bermaksud): “Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: Ya Tauhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sungguh, Engkau maha Penyantun lagi Maha Penyayang”. (Al-Hasyr: 10)

Kata penyair:
“Ramadhan datang sebagai ladang …untuk membersihkan hati daripada keburukan. Oleh itu tunaikanlah hak-haknya melalui perkataan dan perbuatan...ambillah sebagai bekal kepada hari kesudahan. Justeru orang yang menanam benih sedang dia tidak menyiramnya…tentulah semasa menuai hasil nanti akan menyesal”.

Tahniah kepada dunia Islam

Kami mengucapkan tahniah kepada dunia Islam keseluruhannya dengan ketibaan bulan yang berkat ini. Kami memohon kepada Allah supaya diawal bulan ini penuh kebaikan, keberkatan dan kesatuan kepada umat Islam, kemenangan dan pertolongan Allah kepada mereka. Begitu juga kami berdoa kepada Allah supaya mengikat hati saudara-saudara kami para mujahidin di setiap tempat, membebaskan saudara kami yang menjadi tawanan dan memberi dunia yang merdeka kekuatan untuk berusaha bagi melepaskan kepungan ke atas rakyat Palestin sehingga mereka diberikan kebebasan dan memperolehi segala keperluan untuk kehidupan mereka pada bulan yang berkat ini.

Adapun saudara-saudara kami yang berada di dalam penjara-penjara penjajah dan penzalim, kami ucapkan tahniah kepada mereka dan keluarga mereka dengan kedatangan bulan kesabaran dan kami katakan kepada mereka: ‘Sabarlah kerana malam untuk orang-orang yang zalim akan berlalu dan cahaya fajar Islam akan datang. Cahayanya terang di ufuk. Justeru hanya perlukan kesabaran seketika sahaja’.

Firman Allah SWT (bermaksud): “Dan pada hari kemenangan bangsa Rom itu bergembiralah orang-orang beriman. Kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendaki. Dia Maha Perkasa lagi Maha Penyayang”. (Ar-Rum: 4-5)  
  
Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=69231&SecID=363
READ MORE - Kelebihan Bulan Ramadan

Ahad, 24 April 2011

Kegembiraan dan kesedihan sebagai tanda aras keimanan


Sabda nabi saw:

مَن سَرّته حَسَنته وسَائته سَيّئتُهُ فهُوَ مُؤمٍن


Ertinya:

“Sesiapa yang bergembira di atas kebaikannya dan bersediah di atas kejahatannya, maka dia adalah seorang mukmin”. (HR. Tabrani dari Abu Musa As’ary r.a)

Dalam hadith ini Rasulullah menjelaskan salah satu tanda aras untuk mengukur dan menilai keimanan seorang muslim, iaitu dengan memerhatikan perasaaannya setelah melakukan sesuatu perbuatan, apakah ia bergembira setelah melakukan sesuatu kebaikan atau bersedih setelah melakukan kejahatan? Kalau benar ia bergembira, bererti ia adalah seorang mukmin. Tetapi apabila sebaliknya, iaitu merasa gembira setelah melakukan kejahatan dan merasa sedih setelah berbuat kebaikan, maka bererti keimanannya telah pudar dari hatinya.

Kegembiraan imani

Mengapa seorang mukmin bergembira setelah melakukan kebaikan? Ada beberapa sebab untuk menjawab pertanyaan ini:

     1.      Ia mengetahui bahawa sekecil manapun kebaikan yang dilakukan pati dilihat dan dicatat oleh Allah. Firman Allah swt:

      “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah sekalipun, nescaya dia akan melihatnya”. (Az-Zalzalah: 7)
    
      2.        Ia mengetahui bahawa sekecil manapun kebaikan yang dilakukan, maka ia akan mendapat balasan pahala yang berlipat ganda. Firman Allah swt:

      “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakan dan memberikan dari sisiNya pahala yang besar”. (An-Nisa’: 40)
    
     3.     Ia mengetahui bahawa kebaikan yang dilakukannya maka sebahagian dari dosa-dosanya yang kecil akan dihapuskan. Firman Allah swt:
     
      “Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk”. (Hud: 114)

Sabda nabi saw:

  “Iringilah perkara buruk dengan perbuatan baik yang akan menghapuskan dosanya”. (HR. Tirmizi)

      4.      Ia akan merasai kelazatan iman. Seorang mukmin yang Berjaya melakukan sesuatu kebaikan atau menghindarkan dari sesuatu keburukan, maka ia akan merasai kemanisan iman. Sabda nabi saw: 

      “Allah berfirman: “Pandangan adalah alah atu di anatara panah-panah iblis. Barangiapa meninggalkannya kerana takut kepadaKu, necaya Aku akan memberikan ganti kepadanya dengan uatu keimanan yang boleh ia raalakan kelazatan di dalam hati”. (HR. Tabrani)  

Kesedihan imani

Mengapa seorang mukmin merasa sedih setelah berbuat kejahatan? Beberapa sebab sebagai menjawab persoalan di atas:

      1.      Ia menyedari bahawa setelah berbuat kejahatan, maka ia akan mendapat balasan dari Allah swt. Firman Allah swt: 

      “Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah sekalipun, maka ia akan mendapat balasan dari Allah”. (Az-Zalzalah: 8)

     2.      Ia menyedari setiap kejahatan yang dilakukannya, bererti ada titik hitam yang akan mengotori hatinya. Sabda nabi saw: 

      "Sesungguhnya seorang hamba apabila melakukan sesuatu dosa, maka dituliskan titik hitam dalam hatinya. Jika ia bertaubat, maka akan membersihkan hatinya, tetapi jika bertambah dalam melakukan dosa, maka titik hitam itu akan bertambah pula sehingga menutupi hatinya”.

      3.      Ia merasa malu kepada Allah Yang Maha Mengetahui semua yang terang dan tersembunyi. Disebutkan dalam riwayat bahawa ada sahabat nabi yang ketinggalan olat berjamaah, lalu merasa malu beriringan dengan sekumpulan sahabat yang berjalan sehingga ia bersembunyi sambil berkata; “Tidak ada kebaikan bagi orang yang tidak memiliki rasa malu ketika mengalami hal seperti ini.

READ MORE - Kegembiraan dan kesedihan sebagai tanda aras keimanan

Jumaat, 3 Disember 2010

Hijrah mengubah wajah sejarah


 
Oleh: Prof. Dr. Taufiq al-Wa'ie

Dakwah Islam di Mekah tidak mampu bergerak, tersebar dan menyampaikan kebaikannya lebih-lebih lagi
sebagai satu umat dan sebuah Negara, yang mengangkat panji tauhid dan berjihad pada landasan untuk mengubah reality dunia yang punah, menolak syirik dan penyembahan berhala yang menguasai di kalangan mereka, meninggalkan fahaman perkauman sempit yang meluas di kalangan mereka, yang menutup pintu hati mereka, yang mendorong mereka lantang menyiksa penganut dakwah Islam sehingga mati tanpa belas kasihan, kemudian menyekat pemimpinnya dari segi ekonomi, masyarakat dan diri, merancang untuk membunuh dan menghapuskannya.

Semua situasi itu dan semua kelemahannya menyebabkan idea untuk berhijrah dari Mekah satu perkara yang tidak boleh dielakkan, juga menyebabkan perlunya kepada kesabaran menanggung keperitan dan penyiksaan di negeri ini, dan bersedia menghadapi kesukaran dan kesusahan kerananya sehingga Allah menentukan kesudahanNya dan sesuatu yang perlu sehingga tiba masa mengecapi kebebasan, sama ada berperingkat-peringkat seperti Hijrah ke Habsyah atau muktamad dalam Hijrah ke Madinah. Penghijrahan juga satu tuntutan untuk meleburkan batu-bata dan sedia bekorban di atas jalan prinsip dan sabar melalui jalan yang panjang, jalan dakwah dan jihad yang sukar sentiasa mengiringi pendokong dakwah semasa berada di perjalanan yang penuh pancaroba dan kerosakan yang berleluasa dalam semua lapangan hidup. Dengan itu sudah semestinya kepada pemimpin dan generasi pertama yang menjadi contoh yang hidup menempuh halangan dan penyiksaan supaya menjadi teladan tentang perjalanan yang panjang buat generasi yang mengikuti jalan mereka.

Dengan itu sudah semestinya bagi dakwah yang menyeru penghijrahan mencapai banyak ciri-ciri (muwasofat) kepada barisan muslim, supaya mampu melangkah ke puncak yang diingini dalam usaha mengubah reality dunia yang buruk dan rosak, baik individu, rakyat dan Negara. Dakwah yang menyeru penghijrahan telah Berjaya menerapkan anggotanya dengan cirri-ciri ini:

1. Mengutamakan akidah melebihi harta, anak-anak dan apa jua. Hal ini terbukti dalam semua bentuk dan keadaannya dengan jelas dalam peristiwa Hijrah. Para lelaki keluar meninggalkan harta, rumah, perniaggaan, pekerjaan dan anak-anak, dengan mengorbankan dirinya kerana mengharapkan keredhaan Allah. Firman Allah;

“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya Karena mencari keridhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya”. (Al-Baqarah: 207)

Meninggalkan semua perkara sekiranya bertentangan dengan akidahnya, bahkan mengeluarkannya dari lubuk hatinya dan membuang perasaan cinta dari hatinya berdasarkan perintah Allah swt:

“Katakanlah: "Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan Keputusan NYA". dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik”. (At-Taubah: 24)

2. Ukhuwwah menyatukan barisan. Peristiwa Hijrah adalah contoh terbaik di mana mereka sanggup berkongsi tunggangan, kerana orang-orang beriman dipersaudarakan dengan ukhuwwah kasih saying, akidah, jihad dan jalan yang ditempuh. Al-Quran telah memuji ukhuwwah di dalam ayatNya yang dirakamkan di bumi dan langit. Firman Allah:

“Dan orang-orang yang Telah menempati kota Madinah dan Telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka Itulah orang orang yang beruntung”. (Al-Hasyr: 9)

Ikatan persaudaraan atas dasar keimanan yang istiharkan mestilah bebas dari semua ikatan seperti jahiliyah syirik dan penyembahan berhala. Firman Allah:

“Hai orang-orang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu menjadi wali(mu), jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka wali, Maka mereka Itulah orang-orang yang zalim”. (At-Taubah: 23)

3. Peringkat dakwah berkumpulan atau kolektif yang dibantu oleh negara, kuasa, barisan pendakwah dan mereka yang mampu berhujjah dan memiliki kecerdikan, yang tidak mampu disekat oleh kuasa jahat, tidak mampu dihalang oleh penguasa sombong dan keji, dari sampai kepada akal dan pemikiran, tidak mampu kuasa yang ada mengubah mereka dari memenangkan yang benar dan mengalahkan yang batil kerana mengingini kerosakan dan kejahatan.

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung”. (Ali-Imran: 104)

 4. Berpindah dari peringkat lemah kepada peringkat kuat dan mampu bersuara, dari peringkat bertahan, cekal dan sabar menanggung kekejaman dan penyiksaan kepada peringkat mempertahankan dakwah, pendakwah dan menentang kezaliman dengan mata pedang. Firman Allah:

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, Karena Sesungguhnya mereka Telah dianiaya. dan Sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu,40.  (yaitu) orang-orang yang Telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali Karena mereka berkata: "Tuhan kami hanyalah Allah". dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah Telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid- masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa”. (Al-Hajj: 39-40)

“Dan jika kamu memberikan balasan, Maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. akan tetapi jika kamu bersabar, Sesungguhnya Itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar”. (An-Nahl: 126)

5. Menegakkan sebuah Negara dan mendokong pemikiran, mengajarkan kebaikan kepada manusia dan melaksanakan Islam dalam bentuk praktikal. Firman Allah:

“49.  Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang Telah diturunkan Allah kepadamu. jika mereka berpaling (dari hukum yang Telah diturunkan Allah), Maka Ketahuilah bahwa Sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan mushibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. dan Sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.50.  Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ?”. (Al-Maidah: 49-50)

6. Melahirkan sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia bagi melaksanakan petunjuk Allah dan nabi, menyempurnakan ibadah kepada Allah yang Esa, menggajak manusia kepada kebenaran dan menyampaikannya, mencegah mereka dari melakukan kemungkaran dan melarang dari terjerumus ke dalamnya. Firman Allah:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”. (Ali-Imran: 110)

7. Mengatur hubungan antara orang Islam dengan penganut agama lain, kerana nabi saw telah mengadakan kesatuan siasah dan peraturan aanta orang Islam dan Yahudi, dan mengikat hubungan antara mereka dan orang Islam dengan satu perjanjian muafakat, di mana diberikan kebebsan mutlak untuk urusan agama dan harta, tiada langsung siasah penyisihan, bahkan menjadikan mereka sebagai umat bersama orang-orang beriman di mana mereka perlu membantu untuk memerangi orang-orang yang menyerang Madinah dan menolong orang yang ditindas dan dizalimi. Sesuatu kesalahan yang dilakukan dirujuk kepada undang-undang dan dikembalikan kepada Allah dan Rasul. Hukuman akan dikenakan ke atas penzalim tanpa mengira orang Islam atau Yahudi.

Negara Islam kini menjadi sebuah Negara yang penuh maufakat walaupun berbilang agama. Penduduknya hidup dengan aman dan tenteram. Oleh sebab itu hijrah nabi saw penuh teladan yang perlu diikuti dan mampu menyebarkan dakwahnya kepada semua manusia yang mengingini keamanan dan kedamaian, di bawah naungan sebuah masyarakat yang mulia dan unggul di dunia. Firman Allah:

“Katakanlah: "Hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah". jika mereka berpaling Maka Katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)".(Ali-Imran: 64)

----------------------
Majalah Al-Mujtama’, Bil. 1590 (28/2/2004 bersamaan 8 Muharam 1425H)

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=5313&SecID=363
READ MORE - Hijrah mengubah wajah sejarah

Isnin, 1 November 2010

Berbuat baik kepada ibubapa ..jalan ke syurga


Oleh: Dr. Ahmed Hassan

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, kesudahan yang baik bagi orang-orang bertakwa, tiada pemusuhan Allah melainkan kepada orang-orang zalim. Selawat dan salam ke atas utusan yang membawa rahmat kepada seluruh alam..selepasnya;

Firman Allah:

“23.Dan Tuhanmu Telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.24.  Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua Telah mendidik Aku waktu kecil". (Al-Isra’: 23-24)

Firman Allah:

“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa”. (An-Nisa’: 36)

Firman Allah:

“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). mengandungnya sampai bercerai susu adalah tiga puluh bulan". (Al-Ahqaf: 15)

Firman Allah:

“Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya Telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan bercerai susu dalam dua tahun. bersyukurlah kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakmu, Hanya kepada-Kulah kembalimu”. (Luqman: 14)

Dengan ungkapan-ungkapan ini jelas bahawa al-Quran mahu menyemaikan naluri berbuat baik dan mengasihi di lubuk hati anak-anak. Ini kerana dalam kehidupan kebiasaanya akan menghalakan perhatiann mereka ke hadapan..kepada zuriat..kepada kelahiran baru..kepada generasi akan datang. Namun tidak ramai yang menghalakan perhatian mereka ke belakang..kepada ibubapa..kepada kehidupan permulaan..kepada generasi yang lalu..kepada umur yang lalu, kemudian anak-anak sangat memerlukan semangat nalurinya untuk memerhatikan ke belakang dan meninjau sejenak kepada bapa dan ibu mereka.

Para ibubapa secara fitrahnya terdorong untuk menjaga dan memelihara anak-anak dan berkorban apa sahaja demi mereka. Sama juga dengan sesuatu yang sedang membesar menghisap yang hijau setiap makanan dengan penuh kesukaan kerana apabila ada perasaan kasih yang bersemai. Anak burung yang kecil menghisap setiap makanan dalam telur burung kerana ia berkulit. Begitulah anak-anak menghisap semua kesenangan, usaha dan perhatian dari ibubapa. Justeru apabila keduanya telah lanjut usia, sekalipun anak-anak mengabaikan mereka, kedua mereka tetap merasa bahagia.

Namun anak-anak begitu cepat melupai semua ini dan mendorong fikiran mereka ke hadapan iaitu isteri dan zuriat..Demikianlah dorongan hidup, dan kemudian ibubapa tidak perlu memaksa diri mereka menjaga anak-anak, tetapi anak-anak perlu kepada menyemaikan emosi dan naluri mereka dengan kuat untuk mengingati hak generasi yang lepas yang telah membelanjakan kesenangan, segala kesenangan demi anak-anak sehingga mereka kekeringan.   

Dari sinilah datangnya perintah supaya anak-anak berbuat baik kepada ibubapa dalam bentuk hukum atau ketentuan dari Allah dengan makna perintah yang ditegaskan, selepas ada perintah yang ditegaskan dengan makna ibadah kepada Allah. Firman Allah: “kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu”. Perkataan “al-Kibr” (umur lanjut) membawa maksud telah lemah atau tua. Perkataan “indaka” (dalam pemeliharaan mu) mempunyai makna yang sangat besar iaitu makna pergantungan dan pengharapan ketika mereka telah tua dan lemah. Justeru sewajarnya ibubapa yang telah tua dan lemah berada dalam penjagaan, pemeliharaan dan pengawasan anak-anak mereka “indaka”. Bukan dengan meletakkan ibubapa di rumah orang-orang tua seperti yang berlaku ke atas setengah ibubapa pada zaman kita ini.

Marilah wahai anak-anak..sesiapa yang masih mempunyai ibubapa, ucaplah tahniah, berilah perhatian, kasihanilah mereka dan berusahalah mendapat keredhaan mereka berdua, kerana melalui keduanya kita memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sesiapa yang hilang salah satu dari kedua mereka, maka dia kerugian separuh dari mereka. Justeru berilah perhatian kepada separuh yang lain sebelum ianya hilang. Orang yang pernah melalui masa bersama mereka, maka janganlah melupakan mereka dalam solat dan doa kita. Siapa yang telah menjadi ibubapa pastilah menyedari hal ini.

Berbuat baiklah kepada ibubapa kamu supaya anak-anak kamu berbuat baik kepada kamu..Berbuat baiklah kepada ibubapa supaya nanti kamu hidup dengan penuh kesetiaan dan ketenangan.
  
Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=49713&SecID=363
READ MORE - Berbuat baik kepada ibubapa ..jalan ke syurga
Related Posts with Thumbnails