Isnin, 8 Mac 2010

Merancang umur kedua yang lebih baik

Saudara/ri,
Terima kasih kerana masih sudi melayani blog kerdil ini. Dikesempatan ini saya akan membicarakan sebuah hadis yang bukan asing lagi bagi kita. Iaitu hadis yang menyatakan pentingnya kita merancang umur kedua yang lebih baik agar kita beroleh kebahagiaan di akhirat nanti.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi saw bersabda;"Apabila mati seorang anak Adam maka terputuslah (pahala) amal perbuatannya kecuali dari TIGA perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang salih yang mendoakannya". (HR Imam Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini Rasulullah menjelaskan kepada kita tentang tiga amalan yang pahalanya akan terus mengalir sekalipun pelakunya telah meninggal dunia; iaitu sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak salih yang sentiasa mendoakan ibubapanya.

Sehubungan itu, kita hendaklah merancang umur kedua iaitu umur selepas kita meninggalkan dunia yang lebih baik. Kita merancang bagaimana pada umur kedua nanti kita terus memperolehi pahala sungguhpun kita telah meninggalkan dunia ini.

Sebenarnya kalau kita perhatikan ternyata umur kedua jauh lebih panjang dari umur pertama. Umur kita di dunia mungkin mencapai 80 tahun tetapi umur kedua sehingga hari Kiamat. Tambahan pula kita tidak lagi berpeluang untuk mengubah nasib dan keadaan selepas kematian. Segala kesalahan dan kejahatan semasa hidup tidak dapat diperbaiki. Oleh itu semasa hidup kita berpeluang memperbaikinya ke arah yang lebih baik.

Bahkan umur kedua adalah buah dan akibat dari umur pertama. Segala apa yang dibuat semasa hayat akan dituai semasa umur kedua. Seandainya semasa hayat kita berbuat kebaikan pastilah kita menikmati buahnya dengan nikmat dari Allah, tetapi seandainya kita banyak berbuat kejahatan pastilah kita akan menerima akibatnya dengan menanggung siksaan pedih dari Allah.

Oleh itu kita hendaklah mengambil kesempatan di dunia ini dengan memperbanyakkan sedekah jariyah seperti bersedekah kepada pembinaan atau pengurusan masjid, surau, madrasah, rumah anak yatim, tanah wakaf, menaja pembelajaran pelajar jurusan agama atau menginfak kepada perjuangan rakyat Palestin.

Kita juga mencurahkan ilmu agama atau ilmu yang berguna kepada umat Islam supaya ilmu tersebut dimanfaatkan samaada semasa kita masih hidup atau telah meninggal dunia. Inilah yang telah dilakukan oleh para ulama terdahulu. Mereka berdakwah, mengajar dan menulis buku. Ilmu mereka terus digunakan sehingga hari ini.

Seterusnya kita mendidik dan melatih anak kita dengan didikan agama dan akahlak mulia. Mereka akan menjadi anak yang soleh yang akan berbakti, berbuat baik dan mendoakan ibubapanya samaada semas masih hidup atau sesudah ketiadaannya.
Semoga petunjuk dari hadis ini dapat dihayati dalam hidup kita dan dijadikan perangsang untuk kita terus melaksanakan tiga saranan di atas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails