Sabtu, 20 Februari 2010

Menghapuskan daki-daki dosa

Seorang muslim yang inginkan keredhaan Allah sewajarnya segera menghilangkan daki-daki dosa pada dirinya sebagaimana yang disarankan oleh baginda ar-Rasul SAW yang bermaksud: Dari Abu Zar dan Muaz bin Jabal:
"Bertakwalah kamu kepada Allah di mana jua kamu berada. Iringilah keburukan dengan kebaikan nescaya ia akan menghapuskannya. Dan pergaulilah orang-orang dengan berakhlak yang baik." (HR Tirmizi)

Dalam hal ini kita diminta supaya bertakwa kepada Allah di manapun kita berada dengan sentiasa mentaati perintah-perintahNya dan menjauhi larangan-laranganNya. Takwa adalah ibu segala kebaikan dan takwa juga jalan yang membawa kita ke syurga. Tanpa takwa sudah pasti manusia akan hanyut dengan segala kerosakan dan kejahatan.

Ciri utama orang yang bertakwa ialah bersegera menghapuskan dosanya dengan tidak menangguh-nangguh atau mengulangi semula kesalahan itu dan segera memohon ampun serta beristighfar kepada Allah. Malah melalui amalan salih yang dilakukan turut menghapuskan dosanya. Ibadah wajib dan sunat akan menghilangkan dosa-dosanya sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan jahat. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat." (Hud: 14)

Disamping itu ar-rasul menyatakan bahawa seseorang yang mengamalkan akhlak mulia juga akan menghapuskan dosanya. Iaitu menjaga adab pergaulan dan hubungan baik sesama manusia seperti sentiasa berkasih sayang, tolong-menolong dan menjauhi sikap sombong, hasad dengki atau mementingkan diri sendiri.

Dosa-dosa yang terus dilakukan akan menyebabkan hatinya bertambah kotor dan hitam. Bahkan lama-kelamaan akan bertambah hitam dan menutup pintu hatinya. Inilah yang amat ditakuti bagi kita kerana hidayah Allah semakin jauh sebaliknya kemurkaan Allah akan bertambah. Begitu juga kejahatan dan dosa yang diulang-ulang akan menyebabkan seseorang menjadi sebati dengan kejahatan tersebut sehingga sukar untuk diubah. Adalah mudah untuk mengubahnya ketika sesuatu kejahatan baru pertama kali dilakukan. Seterusnya kita bimbang seseorang akan mati ketika tenggelam dengan noda dan dosa. Maka matilah seseorang itu dengan kemaksiatan yang masih diamalkan dan mati sebagai orang yang tidak beriman...

Justeru marilah kita segera beristighfar dan mohon ampun kepada Allah di kala hayat masih di kandung badan. Begitu juga pertingkatkan amal-amal kebaikan. Mudah-mudahn Allah ampuni dosa-dosa kita. Allah pelihara kita dari terus terjebak dalam kemaksiatan dan kemungkaran. Sebaliknya Allah kurniakan kita hidayah dan taufiknya untuk memandu kita ke arah keredhaanNya. Semoga kita termasuk di kalangan hambanya yang salihin...

Amin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails