Sabtu, 20 Februari 2010

Menjaga kesalihan hati


Kepentingan hati telah dinyatakan oleh baginda ar-rasul SAW dalam sebuah hadith yang bermaksud:
"Sesungguhnya pada diri anak Adam terdapat segumpal daging; apabila segumpal daging itu baik maka menjadi baiklah tubuhnya. Apabila ia rosak maka rosaklah pula seluruh tubuhnya. Ketahuilah, sesungguhnya segumpal daging itu adalah hati." (Muttafaqun Alaih)

Ini menunjukkan bahawa hati adalah kunci segala kebaikan dan keburukan kepada diri seseorang. Kebaikan dan kejahatan lahir daripada hati. Hati yang bersih dan diisi dengan iman akan melahirkan amalan salih dan perkara kebaikan. Sebaliknya hati yang kotor dan hitam akibat daripada maksiat dan kekufuran akan melahirkan perbuatan jahat dan menambah kemurkaan Allah.

Hati dalam bahasa Arab disebut al-Qalbu bererti bolak-balik atau boleh berubah-ubah. Oleh sebab itu hati manusia kadang-kadang boleh berubah ke arah baik dan ke arah jahat. Hati berubah bergantung kepada sebab-sebab tertentu.

Justeru, bagi memastikan hati manusia sentiasa bersih dan baik yang mengajak kepada ketakwaan maka sewajarnyalah kita mendidik hati dengan keimanan dan mendekatkan diri kepada Allah. Selain kita menyempurnakan perkara yang fardu wajarlah kita menambah dengan amalan sunat yang lain seperti solat-solat sunat, puasa sunat, tilawah al-Quran, zikir, bersedekah dan sebagainya. Selain itu kita dituntut menjauhi segala perkara yang mengotorkan hati seperti perbutan-perbuatan yang diharamkan dan tidak melaksanakan perintah Allah. Terlibat perkara syirik adalah sebesar-besar amalan yang menggelapkan hati. Begitu juga terjerumus dalam lembah maksiat dan kemungkiran akan menambah lagi kekotoran hati.

Semoga kita semua terus dipelihara hati oleh Allah dan dikuatkan untuk terus istiqamah di jalan yang diredhai Allah hendaknya.

Amin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails