Isnin, 21 Jun 2010

Belajar dari Lebah supaya menjadi Peribadi yang Baik


Saudara yang dikasihi,

Sebuah hadith daripada Abdullah bin Amir, Rasululllah telah bersabda:

“Perumpamaan seorang mukmin adalah seperti seekor lebah. Jika makan, ia makan sesuatu yang baik. Jika mengeluarkan, ia mengeluarkan sesuatu yang baik. Jika hinggap di dahan yang kecil, ia tidak mematahkannya. Ia juga tidak rosak dan merosakkan”. (Al-Baihaqi)

Dalam haditn ini Rasul saw mengajak kaum muslimin untuk memikirkan kebaikan-kebaikan yang ada pada seekor lebah dan mempraktiskannya dalam diri mereka. Ini kerana sifat-sifat kebaikan yang ada pada seekor lebah tidak jauh berbeza dengan sifat kebaikan pada diri seorang mukmin. Justeru, kita seharusnya belajar dari seekor lebah agar kita menjadi peribadi yang penuh dengan kebaikan.

Di antara kebaikan lebah yang patut dicontohi:

1. Membina rumah sebelum mencari makan. Orang mukmin sanggup berjimat cermat dan menabung untuk membina rumah sebagai tempat berteduh kepada ahli keluarganya.

2. Rumah lebah berbentuk hexagon kerana bentuk yang paling kukuh dan tiada ruang yang sia-sia. Orang mukmin sewajarnya menjadikan rumah sebagai tempat berehat, tenang dan selamat seperti “Rumahku syurgaku”.

3. Melindungi rumah dari sebarang ancaman luar dan dalam. Orang mukmin akan berusaha melindungi diri, isteri, anak dan keluarga dari sebarang pengaruh buruk dari luar.

4. Pembahagian tugas. Masing-masing lebah mendapat tugas sesuai dengan kemampuannya dan mereka melaksanakan tugas dengan penuh disiplin. Seorang mukmin juga mempunyai tugas seperti seorang ayah bertugas mengetuai keluarga atau seorang isteri membantu suami dalam urusan rumahtangga.

4. Memakan makanan yang baik. Mereka menghisap nectar bunga dari berbagai pokok dan tumbuhan sehingga menghasilkan madu yang sangat berkhasiat. Orang mukmin pula tidak makan kecuali yang halal kerana: “Tidak akan masuk syurga jasad yang tumbuh daripada makanan yang haram”. (Hadith)

5. Dari perut lebah keluar minuman yang berwarna-warni seperti bee pollen, propolis, royal jelly dan madu lebah. Orang mukmin pula akan melahirkan sifat-sifat kebaikan sesuai dengan bakat dan kebolehan masing.

6. Produk lebah memiliki khasiat sebagai ubat yang menyembuhkan penyakit. Orang mukmin juga menjadi penawar kepada masalah social yang melanda masyarakat. Dengan nasihat dan akhlaknya memberikan kesejukan kepada orang yang memerlukan bimbingannya.

7. Lebah memiliki imuniti dari bacteria. Orang mukmin dengan sifat pengabdian kepada Allah semata-mata mampu mempertahankan diri dari segala macam kebejatan social, kerosakan akhlak dan penyimpangan dari ajaran agama. Bahkan mampu membetulkan masyarakat dan memandu mereka kepada kebenaran dan keselamatan dunia dan akhirat.

Demikianlah nabi saw menganjurkan orang-orang mukmin sentiasa menjalani kehidupan yang penuh dengan kebaikan seumpama sifat-sifat lebah yang diabadikan di dalam Al-Quran sebagai teladan yang baik bagi orang yang mahu berfikir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails