Ahad, 20 Jun 2010

Membangunkan kekayaan jiwa


Saudara/i yang dirahmati Allah,
Islam memandang tinggi seseorang yang memiliki kekayaan jiwa sekalipun beliau tidak memiliki kekayaan material.

Daripada Abu Hurairah r.a sabda Rasulullah saw:

ليْسَ الغِنىَ عن كَثرَةِ العرَضِ ولكنّ الغِنَى غِنَى النّفْس

“Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta, akan tetapi kekayaan yang sebenarnya ialah kekayaan jiwa”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah menjelaskan kepada kita bahawa kebanyakan manusia terlalu cintakan harta dan bercita-cita memiliki kekayaan atau hidup senang-lenang. Mereka sanggup melakukan apa sahaja tanpa mempeduli batas-batas halal haram demi memburu kekayaan tersebut. Namun demikian Islam tidak memandang seseorang yang memiliki kekayaan kebendaan yang melimpah ruah sekiranya tidak dituruti dengan kekayaan jiwa, kerana kekayaan yang sebenar ialah kekayaan jiwa bukannya kekayaan hartabenda. Namun kekayaan kebendaan yang digunakan untuk membangunkan kekayaan jiwa adalah yang terbaik seperti yang disarankan oleh nabi saw.

Mengapa kekayaan kebendaan tidak dianggap sebagai kekayaan sebenar?

1. Kekayaan material adalah disebabkan oleh factor luaran kerana kekayaan sebenar ialah yang lahir dari dalaman manusia.
2. Kekayaan material yang tidak diiringi oleh kekayaan jiwa pemiliknya tetap dianggap miskin. “Seandainya anak Adam memiliki dua lembah emas, nescaya dia akan emncari lembah emas yang ketiga”.
3. Kekayaan material seperti emas dan perak, sawah ladang dsb akan binasa dan hina. Sabda nabi; “Demi Zat yang jiwa ku di tanganNya. Sungguh dunia lebih hina pada pandangan Allah daripada bangkai kambing ini bagi pemiliknya”. (Ahmad)
4. Kekayaan material tidak akan dibawa oleh pemiliknya ke alam kubur.
5. Kekayaan material menyukarkan hisab. “Anak Adam membenci sedikit harta padahal sedikit harta meringankan hisab”.(Ahmad)
6. Kekayaan sering menjerumuskan pemiliknya ke dalam dosa dan api neraka. Sabda nabi; “Aku lihat syurga, kebanykan penduduknya adalah orang-orang fakir. Aku lihat neraka, kebanykan penduduknya adalah orang-orang kaya dan kaum wanita”. (Ahmad)

Kekayaan jiwa

Amalan di bawah adalah sebahagian amalan yang dipraktik oleh seseorang yang memiliki kekayaan jiwa seperti yang dinyatakan oleh Ibn Qayyim:
1. Seorang yang hanya mengingini keredhaan Allah semasa mencari kekayaan hingga menggunakan harta kekayaannya.
2. Tunduk dengan segala hukum Allah. Beliau memastikan segala syariat dipatuhi semasa memburu kekayaan.
3. Menerima segala ketentuan Allah dengan kerelaan hati. Bahkan bersyukur dengan nikmat yang diperolehi biarpun sedikit serta bersabar menghadapi sebarang dugaan hidup.
4. Mengelakkan diri daripada terjerumus dengan sumber haram atau perkara yang dilarang.
5. Mengelakkan diri daripada sebarang permusuhan dengan orang lain.
6. Menjauhi daripada tenggelam dengan nafsu syahwat. Beliau tidak dilalaikan atau disibukkan dengan urusan kebendaan tetapi sibuk dengan beribadah. Sabda nabi; “Hai Bilal, hiburkanlah kami dengan solat”. (Abu Daud)
7. Mengelakkan diri daripada tenggelam dengan sifat riya’, takabur (besar diri), ujub dan mengharapkan pujian manusia.
8. Menggunakan harta untuk mendekatkan diri dengan Allah, menafkahkan harta pada jalan Allah dan membangunkan ketinggian agama.

Semoga daripada penjelasan di atas seseorang muslim sewajarnya memiliki kekayaan jiwa yang sebenar supaya kekayaan harta yang dimiliki akan memberi kebahagian kepadanya di dunia dan akhirat dan yang utama memberi kebaikan kepada agama dan perkembangan dakwah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails