Ahad, 27 Jun 2010

Kunci-kunci pintu rezeki


Saudara yang dikasihi,

Pada kali ini saya ingin berkongsi langkah yang boleh mengundang rezeki kepada kita.
Sebuah hadith daripada Abu Darda’ ra bahawa nabi bersabda:

“Sesungguhnya rezeki akan lebih banyak mencari seorang hamba lebih daripada apa yang dicari oleh ajalnya terhadap dirinya”. (Riwayat al-Tabrani)

Allah SWT telah menetapkan rezeki untuk hamba-hambanya. Ketetapan ini pasti terjadi kepada sesiapa yang dikehendaki dan tidak ada seorangpun yang dapat menghalangnya. Apa yang menjadi rezekinya tidak mungkin jatuh ke tangan orang lain dan tidak akan terkurang sedikitpun.

Disamping itu Allah telah menetapkan bagi hamba-hambaNya sebab-sebab untuk mendapat rezeki dan harta kekayaan, sama ada sebab spiritual ataupun sebab fizikal. Sebab fizikal sudah sedia maklum, iaitu melalui pekerjaan atau perniagaan. Sedangkan melalui spiritual, sebenarnya jauh lebih penting daripada sebab-sebab fizikal kerana ia merupakan sebab seseorang dimudahkan dalam mencari rezeki.

Beberapa kunci pintu rezeki

1. Sentiasa melakukan kebaikan.Allah akan membalas perbuatan baik sama ada muslim atau kafir dengan kenikmatan dunia.Firman Allah: "Supaya Allah memberi balasan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh. Mereka adalah orang-orang yang mendapat keampunan dan rezeki yang mulia". (Saba':4)

2. Bertakwa kepada Allah. Firman Allah: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”. (At-Talaq: 2-3)

3. Bertawakal kepada Allah. Firman Allah: “Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya’. (At-Talaq: 3)

4. Memperbanyakkan istighfar. Rasul bersabda: “Barangsiapa yang memperbanyakkan beristighfar, Allah akan menjadikan untuknya kesenangan dalam setiap kesedihan, jalan keluar dari setiap kesulitan dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka”. (Ahmad)

5. Berdoa. Allah adalah Pemberi Rezeki, maka kita seharusnya banyak berdoa kepada Allah agar melimpahkan rezeki.

6. Merapatkan silaturrahim. Sabda Rasul saw: “Barangsiapa yang ingin rezekinya diperluas dan umurnya dipanjangkan, maka hendaknya ia menghungkan silaturrahim”. (Bukhari)

7. Berzakat dan bersedekah. Sabda rasul saw: “Harta seorang hamba tidak akan berkurang kerana sedekah”. (at-Tirmizi)

8. Bersyukur kepada Allah. Firman Allah: “Sekiranya kamu bersyukur, pasti Kami akan tambahkan nikmat kepada mu…”. (Ibrahim: 7)

Demikianlah beberapa kunci murah rezeki melalui amalan kerohanian atau spiritual seperti yang diajarkan oleh Islam. Semoga dengan itu kita dapat mengamalkanya agar Allah memberkati hidup k ita dan seterusnya melimpahkan rezeki dan kekayaan di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails