Sabtu, 3 Julai 2010

Jangan Remehkan Kebaikan (Amal Salih) Walau Sekecil Manapun


Saudara/i sekalian, semoga di dalam kesihatan dan rahmat Allah hendaknya. Kali ini saya ingin menyentuh satu perkara di mana ramai orang yang melupainya.

Sabda nabi saw dari Abu Zar r.a, Rasulullah bersabda:
لا تحْقِرَنّ مِنَ المَعْرُوفِ شَيْئا
“Janganlah kamu meremehkan kebaikan walaupun kecil”. (Riwayat Muslim dan Ahmad)

Dalam hadith ini nabi melarang kita meremehkan kebaikan walaupun ianya kecil kerana beberapa sebab;

1. Seringkali kebaikan yang dianggap remeh oleh orang ternyata merupakan kebaikan yang terbesar dan mendatangkan pahala yang banyak. Sebagai contoh adalah kalimah “Laa ilaha illah”, ramai orang yang meremehkannya. Seorang sahabat, Abu Zar Al-Ghifari pernah bertanya nabi; “Ya Rasulullah, berilah aku wasiat”. Baginda bersabda: “Jika kamu melakukan keburukan, maka iringilah keburukan itu dengan kebaikan yang akan mengha[uskannya”. Aku bertanya lagi; “Ya Rasulullah, apakah “Laa ilaha illah” termasuk kebaikan?. Nabi menjawab: “Ia adalah kebaikan yang paling utama”. (Bukhari)

2. Setiap kebaikan adalah sedekah. Sabda nabi: “Setiap kebaikan adalah sedekah”. (Muslim)
Kebaikan mempunyai makna sedekah bererti sekecil mana pun suatu kebaikan merupakan bukti keimanan kita.

3. Setiap kebaikan sekecil mana pun akan menghantar seorang muslim ke dalam syurga.
Sabda nabi: “Barangsiapa yang membuang batu di jalanan, ia akan dicatat telah mendapat satu kebaikan (pahala), dan barangsiapa mempunyai suatu kebaikan, maka ia akanmasuk syurga”. (Tabrani)

Hal ini disebabkan; Allah bersifat Maha Berterima Kasih (Syakur) akan membalas suatu amalan yang kecil dengan balasan yang besar dan mahal iaitu syurga. Sebab lain ialah penghalang seseorang memasuki syurga adalah dosa-dosanya. Justeru perkara kebaikan walaupun kecil akan menyebabkan Allah mengampuni dosa-dosanya.

4. Setiap kebaikan walaupun kecil akan melahirkan kebaikan yang lain. Jika kita melakukan kebaikan, maka akan menjadi pintu gerbang untuk memasuki pelbagai kebaikan yang lainnya. Jika kita meremehkan atau meninggalkannya, akan menutup pintu gerbang yang mendatangkan kebaikan-kebaikan tersebut.

Oleh itu diharapkan daripada huraian di atas akan mendorong kita semua untuk melakukan kebaikan atau amal salih dari yang sebesar-besar hingga sekecil-kecil supaya seluruh hidup kita penuh dengan manfaat untuk diri, keluarga, masyarakat dan agama tercinta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails