Rabu, 16 Jun 2010

Membina kecerdasan Ruhiyah


Saudara/i sekalian,
Syukur saya kepada Allah SWT yang masih memberi saya kesihatan dan kesempatan untuk meneruskan perkongsian daripada mutiara hadith nabawi yang sangat bernilai. Kali ini saya bawakan sebuah hadith yang mempunyai pengertian yang besar buat seluruh muslimin.

Daripada Syadad bin Aus r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

الكيِْسُ مَنْ دَان نَفْسَهُ وَعَمِل لِما بَعدَ المَوْتِ
“Seorang yang cerdas adalah orang yang mampu mengendalikan dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematiannya”. (Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Rasulullah saw mengingatkan kita bahawa seseorang itu dianggap memiliki kecerdasan ruhiyah apabila ia memiliki tekad yang sangat kuat, berusaha memanfaatkan setiap peluang yang datang, sentiasa berhati-hati dan berwaspada supaya setiap saat yang dilaluinya tidak berlalu begitu sahaja tanpa digunakan untuk kebaikan dunia dan akhirat. Ini bermakna baginda mahukan keperibadian mukmin yang sentiasa mengawal dan mengendalikan dirinya serta beramal untuk kehidupan akhirat supaya bukan sahaja dirinya mendapat kebaikan bahkan Islam juga mendapat kebaikan darinya.

1. Orang-orang yang cerdas sentiasa mampu mengawal dan mengendalikan diri.
Sebelum beramal beliau akan membetulkan niatnya dengan mengikhlaskan diri kerana Allah. Beliau juga akan memastikan setiap perbuatannya memberi manfaat atau kebaikan bagi dirinya. Jika tiada kebaikan, maka ia tinggalkannya.

2. Orang-orang yang cerdas beramal untuk kehidupan setelah kematiannya (akhirat).
Setiap kali melakukan sesuatu perbuatan , seorang yang cerdas sentiasa memastikan ia berorientasikan akhirat, kerana baginya di sana ialah kehidupan yang abadi dan lebih baik daripada kehidupan dunia. Oleh itu setiap perbuatan mestilah didahului dengan ikhlas kerana Allah, mengingini keredhaanNya dan di dasari oleh petunjuk Rasul dan syariat Islam. Begitu juga beliau menjauhkan diri daripada sebarang bentuk yang mendatangkan kemurkaan Allah seperti perbuatan maksiat, kesyirikan, kekufuran dan kezaliman.

Oleh kerana itu seorang yang memiliki kecerdasan ruhiyah akan mempraktikkan perkara berikut dalam hidupnya:
1. Memandang segala hal dalam hidup sebagai peluang untuk meraih dan meningkatkan pahala. Ketika melihat sampah di jalan, ia memandangnya sebagai peluang pahala hingga menyebabkannya ringan tangan untuk membuangnya. Ketika melihat penderitaan di depan mata, ia memandangnya sebagai peluang untuk meraih pahala dengan menafkahkan hartanya untuk meringankan penderitaan orang itu.
2. Mengutamakan amalan yang bermanfaat dan berpahala besar. Ini kerana kewajipan dan tugas jauh lebih banyak dari masa yang ada, maka ia sentiasa mengutamakan amal ibadah yang paling utama dan berpahala tinggi seperti zikir-zikir di dalam al-Ma’thurat yang mempunyai fadilat yang sangat besar.
3. Memilih ibadah yang dilipat gandakan seperti melaksanakan solat fardhu secara berjamaah berbanding solat berseorangan.
4. Menjaga penerusan amal sekalipun telah menjejak usia emas kerana sabda nabi; “Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang dilakukan terus-menerus meskipun sedikit”. (Baihaqi).
5. Segera bertaubat dan tidak mengulangi dosa yang dilakukan. Sabda nabi; “Seorang mukmin tidak boleh tersengat dalam satu lubang dua kali”. (Muttafaq Alaih)

Semoga dengan pemaparan di atas akan memberi kekuatan jiwa dan keteguhan tekad bagi mengendalikan dan meminpin diri seterusnya memastikan sesuatu perbuatan mendatangkan kebaikan di akhirat nanti.

1 ulasan:

  1. SALAM ZIARAH.
    saya membaca untuk ambil sedikit ilmu.

    selepas ni, kiranya perlu lebih cergas dalam hidup.

    Mari memeriahkan CDM!!!

    BalasPadam

Related Posts with Thumbnails