Jumaat, 23 Julai 2010

Eratkan Silaturrahim

Saudara yang dimuliakan,
Bulan Sya'ban penuh dengan kemuliaan dan keberkatan kerana bulan ini amalan hamba diangkat kepada Tuhan Rabbul Jalil. Namun amalan tersebut akan tergantung sekiranya seorang hamba itu bersengketa sesama saudaranya sehinggalah ia berbaik semula, barulah amalan tersebut akan diangkat. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghubungkan silaturrahin sesama saudara kita dan membuang yang keruh dan mengambil yang jernih. Bermaaf-maafanlah dan berdamai dengan cara yang baik. Inilah amalan yang sangat dituntut oleh nabi saw di bulan Sya'ban ini seperti yang dinyatakan dalam hadith nabi saw.
Dari Abu Darda’ r.a berkata: Rasulullah saw telah bersabda: “Sukakah aku memberitahu tentang amalan yang lebih utama daripada puasa, solat dan sedekah? Para sahabat menjawab: Sudah tentu. Jelas nabi: “Menghubungkan silaturrahim, kerana sekiranya rosak hubungan silaturrahim adalah umpama memotong agama”. (Tirmizi.) Menurutnya ini hadith sahih.

Saudara yang dimuliakan, cukuplah kita mengetahui tentang bahaya permusuhan, iri hati, dengki dan benci-membenci sesama orang Islam. Di dalam hadith dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw telah bersabda: “Pintu syurga dibuka pada hari isnin dan khamis, lalu diampunkan dosa hamba yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, kecuali lelaki yang saling bermusuh antara satu sama lain. Maka dikatakan; lihatlah kepada kedua mereka sehingga mereka berbaik semula, lihatlah kedua mereka ini sehingga berbaik semula dan lihatlah kedua mereka sehingga berbaik semula”. (Muslim)
Justure, semua umat Islam adalah bersaudara  tanpa mengira bangsa, keturunan, pangkat, jawatan dan batas geografi. Kita adalah umat yang satu yang saling menguat antara satu sama lain seperti satu binaan yang kukuh. Islam akan kuat sekiranya umat bersatu dan berpadu demi mencapai matlamat Islam.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails